Adam Zikri 'pergi' dalam pangkuan ibu

MUHAMMAD ADAM ZIKRI
MUHAMMAD ADAM ZIKRI
A
A
A

POKOK SENA - Bayi lelaki berusia setahun yang menghidap kanser otak tahap empat meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Khamis selepas ketumbuhan di kepalanya terus merebak.

Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal meninggal dunia di pangkuan ibunya, Nurul Asyikin Mustafa, 26, pada jam 2.25 petang Khamis.

Menurut Nurul Asyikin, dia reda dengan pemergian anak keduanya itu selepas lama menderita penyakit tersebut.

"Kami dihubungi doktor pada jam 12.46 tengah hari dan meminta ke hospital selepas oksigen Adam Zikri semakin turun dan keadaannya nazak.

"Doktor memaklumkan pada 8 Ogos telah melakukan imbasan di kepala dan mendapati ketumbuhan tersebut sudah merebak selain mudah berdarah.

"Sebelum ini sudah tiga kali anak kami menjalani rawatan kimoterapi namun ia tidak memberikan kesan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Nurul Asyikin berkata, Muhammad Adam Zikri sepatutnya menjalani pembedahan di leher pada minggu lalu namun ditunda sebanyak dua kali kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Menurutnya, dia dan suami, Mohamad Zainal Mohd Khamis, 29, mengucapkan jutaan terima kasih kepada banyak pihak yang membantu keluarganya selama ini.

"Kami lihat dia pergi dengan tenang semasa dalam pangkuan saya, kami reda," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Muhammad Adam Zikri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Menerong, Pokok Sena pada jam 6 petang Khamis.

Sinar Harian pada 7 Julai melaporkan pasangan suami isteri dari Kampung Nawa, Pokok Sena pilu melihat bayi lelaki mereka yang berusia setahun diuji menghidap penyakit kanser otak tahap empat dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB, Alor Setar.

Kanak-kanak itu juga telah menjalani dua kali pembedahan dan kimoterapi apabila penyakitnya dikesan pada 29 Mac selepas demam berpanjangan dan muntah.