Bot nelayan tempatan, 17 kru Vietnam ditahan

Seramai 17 kru Vietnam bersama bot yang ditahan oleh Maritim Malaysia pada Khamis.
Seramai 17 kru Vietnam bersama bot yang ditahan oleh Maritim Malaysia pada Khamis.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebuah bot nelayan tempatan bersama 17 kru Vietnam yang beroperasi tanpa lesen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di perairan negeri ini semasa operasi bersepadu Op Naga Barat dan Op Damai pada Khamis.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam 10.29 pagi sekitar kedudukan 48 batu nautika dari muara Tok Bali.

"Bot tersebut diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan didapati 17 kru termasuk tekong merupakan warga Vietnam yang berumur antara 20 hingga 55 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah.

"Nilai rampasan termasuk bot, ikan lebih kurang 300 kilogram, sotong kering dalam anggaran 200 kilogram, bekalan diesel anggaran 4,000 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Bot yang ditahan Maritim Malaysia pada Khamis didakwa melakukan aktiviti perikanan tanpa lesen sah.
Bot yang ditahan Maritim Malaysia pada Khamis didakwa melakukan aktiviti perikanan tanpa lesen sah.

Menurutnya, bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perikanan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan ini, mahkamah juga boleh melucut hak bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan kepada kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Verifikasi awal status bot melalui data Jabatan Perikanan mendapati lesen bot tersebut telah tamat tempoh sejak tahun 2019 dan berstatus tidak aktif.

"Sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070," katanya.