Pemberian vaksin kepada kanak-kanak, remaja mulai September

Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.- Foto 123RF
Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.- Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA- Kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.

Menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, vaksinasi diberikan terhadap kumpulan itu bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Bagaimanapun, implimentasi langkah itu bergantung kepada bekalan vaksin.

Sinar Harian telah mendapat pengesahan Pejabat Ketua Pengarah Kesihatan bahawa surat pekeliling itu adalah untuk pelaksanaan bagi tujuan tersebut.

Berdasarkan surat pekeliling yang bertarikh 12 Ogos itu, imunisasi akan diberikan kepada kumpulan sasar di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPVS) iaitu di hospital dan institusi perubatan.

Ia turut dilaksanakan di PPV klinik kesihatan yang telah dikenal pasti selain melalui program jangkauan (outreach) seperti di sekolah.

Penilaian pra-vaksinasi akan dilakukan oleh pegawai perubatan berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, alergi, rawatan dan ubatan yang sedang diterima oleh individu berkenaan.

Tidak semua bakal penerima vaksin perlu menjalani penilaian tersebut kecuali mereka yang mempunyai sejarah alergi teruk, mengalami kelemahan sistem imun dan menerima rawatan ubat pencair darah atau mempunyai masalah kesihatan yang berkecenderungan mengakibatkan pendarahan.

Artikel Berkaitan:

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mula membuka pendaftaran bagi vaksinasi golongan tersebut pada 21 Julai lalu.