Golongan ibu sudah letih jadi ‘singa’

Gelaran 'singa’ setiap kali ibu berdepan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak bukanlah perkara baharu. -Foto 123rf
Gelaran 'singa’ setiap kali ibu berdepan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak bukanlah perkara baharu. -Foto 123rf
A
A
A

SEJAK tahun lalu, golongan ibu menggalas tugas sambilan bergelar cikgu tanpa tauliah. Untunglah kalau memang berkerjaya sebagai guru, jadi tak jauh tersasar daripada landasan mengajar.

Namun, bagi ibu-ibu yang bukan daripada latar belakang pendidikan, ia bagaikan satu bebanan yang dipikul berterusan. Golongan ibu agak tersepit kerana terpaksa mengajar diri sendiri terlebih dahulu sebelum mengajar anak, hanya berpandukan rakaman video yang dihantar guru.

Gelaran 'singa’ setiap kali ibu berdepan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak bukanlah perkara baharu. Luahan telah berkali-kali disuarakan tetapi masih tidak nampak noktahnya.

Bukanlah hendak berkira, namun pada masa yang sama seorang ibu memainkan banyak peranan serentak. Menguruskan keperluan rumah, memasak, bekerja dari rumah, malam pula membantu anak menyiapkan kerja rumah. Kalau anak lebih daripada seorang, tekanan kepada ibu berganda.

Malah, ada ketika sambil bekerja pun terpaksa jenguk latihan sekolah anak. Kalau dibiarkan kelak bertimbun pula. Jadi bila masanya ‘ibu singa’ nak berehat atau tiada lagi istilah me time, khususnya untuk golongan ibu merehatkan minda bersantai melayan filem kegemaran. Kalau begini, si ibu perlu bijak mengurus mental dan jiwanya. Itu pun kalau suasana di rumah tenang sentiasa.

Bilalah agaknya sekolah akan kembali beroperasi seperti biasa. Dengan kes Covid-19 yang belum nampak redanya, pergolakan politik yang tidak kurang hebatnya dan menteri pula angkat kaki. Apa nak jadi dengan sistem pendidikan negara kita?

Prestasi anak pula kian hari kian merudum. Pelajaran yang tidak difahami, terpaksa ditelan dek kerana mengikut jadual PdPR yang ditetapkan mengikut silibus dan perlu dihabiskan.

Kasihan anak-anak yang akan berdepan peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibarat hilang hala tuju dan terpaksa berdikari. Kalau berdisiplin tidaklah bimbang tetapi bagaimana dengan anak-anak yang agak nakal, yang mata celik hati ke laut setiap kali berdepan PdPR bersama guru. Masa depan mereka seolah-olah diperjudikan.

Artikel Berkaitan:

Anak-anak yang berada di institut pengajian tinggi (IPT) turut berdepan masalah sama. Ada yang belum sempat pun jejakkan kaki ke pekarangan universiti, hanya bergelar mahasiswa maya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu lakukan sesuatu. Janganlah asyik tenggelam timbul, kejap ada kejap tak ada. Tolonglah come out dengan perancangan lebih meyakinkan berbanding asyik-asyik PdPR.

Sebabnya, ia terbukti kurang efisien selepas lebih setahun dilaksanakan. Murid menjadi malas, tiada motivasi, semangat belajar luntur, pemikiran tak kritis. Semua isu tersebut sudah beberapa kali dikupas Sinar Harian, namun hanya sekadar kupasan, tiada tindakan susulan.

Harap pihak berkaitan ambil maklum apa yang pernah dilaporkan daripada pelbagai pihak untuk kepentingan masa depan anak-anak kita.

Kes Covid-19 belum nampak akan pulih. Pada Rabu, 211 nyawa terkorban, manakala jumlah kematian keseluruhan mencecah sebanyak 11,373 kes.

Sekolah pula akan dibuka pada 1 September, kurang sebulan lagi. Murid-murid belum divaksin. Semua pihak seakan dalam dilema, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 7 Ogos berkata, seramai 352,649 guru atau 85.41 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala guru kelas peperiksaan seramai 84,995 orang (94.89 peratus).

Seramai 54,930 orang (46.64 peratus) pula melibatkan pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas atau van sekolah menerima vaksinasi. Ia adalah antara persiapan awal sebelum sesi persekolahan bersemuka kembali dilaksanakan. Adakah kerajaan betul-betul bersedia untuk sekolah dibuka?

Sekiranya hasrat itu diteruskan ketika kes Covid-19 masih tinggi, ia bakal mengundang risiko.

Baru-baru ini, satu petisyen berkaitan dilancarkan di change.org dengan meminta KPM menangguhkan pembukaan sekolah pada 1 September sehingga negara mencapai imuniti kelompok dan setakat jam 4.30 petang Khamis, seramai 42,453 orang telah menandatangani petisyen berkenaan.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara