Tiba masa fokus pelapis Paris 2024

Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat perak dimenanginya sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin. - Foto Bernama
Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat perak dimenanginya sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PENUBUHAN sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berfungsi seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dianggap perlu sekiranya arena sukan negara mahu lebih menyerlah pada temasya Sukan Olimpik pada masa depan.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berkata, menerusi penubuhan sebuah lagi badan berkanun yang mirip seperti MSN di bawah KPM secara tidak langsung akan memberi ruang lebih luas dalam usaha melahirkan atlet berprestasi tinggi untuk negara.

Mazlan Ahmad
Mazlan Ahmad

“Program Podium yang ada sekarang sememangnya memerlukan penambahbaikan berdasarkan prestasi kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berakhir Ahad lalu.

“Pada Sukan Olimpik di Tokyo, sukan sandaran pingat badminton, berbasikal dan terjun telah menunjukkan prestasi membanggakan walaupun semua sedikit kecewa dengan prestasi kem terjun negara pada temasya tersebut.

“Biarpun begitu sesuatu yang positif, atlet ketiga-tiga sukan ini mampu memberikan saingan kepada jagoan dunia lain walaupun Tokyo 2020 berlangsung dalam suasana pandemik Covid-19.

“Jadi tiga sukan ini memerlukan perancangan lebih sistematik bermula sekarang dengan memfokuskan penambahan lebih ramai atlet berprestasi tinggi sekiranya kita benar-benar serius dalam memburu pingat emas tidak hanya di edisi Paris 2024 tetapi juga selepas itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi semasa kontinjen negara selepas berakhir temasya itu pada Ahad yang menyaksikan Malaysia berjaya membawa meraih dua pingat daripada tiga yang disasarkan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mazlan memberitahu, KPM perlu diberikan tanggungjawab dengan penubuhan sebuah badan berkanun di bawah kementerian itu yang berperanan sebagai 'pencari bakat' di akar umbi, sekali gus membolehkan misi sandaran pingat diperluaskan kepada sukan lain seperti memanah dan menembak.

“Saya akui kita ada Sekolah Sukan yang berjaya memainkan peranan membentuk atlet murid sebelum ini, namun kita masih memerlukan sebuah badan berkanun di bawah KPM yang akan menjadi 'MSN 2' seperti MSN yang ketika ini di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Bila diwujudkan 'MSN 2', saya percaya tugas untuk membentuk lebih ramai atlet berprestasi tinggi bermula dari peringkat sekolah akan menjadi lebih mudah dan berkesan.

“Prospek atlet berprestasi tinggi ini kemudiannya akan ada kesinambungannya tidak hanya untuk edisi Paris 2024 tetapi juga edisi Olimpik selepas itu, dengan kata lain negara tidak akan ketandusan atlet berprestasi tinggi yang mampu mencabar di pentas Olimpik,” ujarnya.