MPS sita barang peniaga warga asing

Antara minuman keras yang disita MPS di premis milik peniaga warga asing di Taman Perindustrian KIP di sini pada Khamis.
Antara minuman keras yang disita MPS di premis milik peniaga warga asing di Taman Perindustrian KIP di sini pada Khamis.
A
A
A

KEPONG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita barangan di dua premis milik peniaga warga asing di Taman Perindustrian KIP di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, warga asing itu didapati menjalankan perniagaan makanan, kedai runcit serta penyimpanan minuman keras secara haram.

Menurut beliau, barangan disita termasuk kerusi meja, 18 tong gas dan 88 kotak minuman keras pelbagai jenama dibawa ke stor sitaan Ibu Pejabat MPS.

"Ketika serbuan dibuat, premis dikunci dan pekerja warga asing telah melarikan diri.

"Anggota penguat kuasa bertindak memotong pintu hadapan premis untuk melakukan sitaan barangan di dalam premis terlibat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohamad Zin berkata, pemeriksaan mendapati premis sama turut dijadikan tempat pemprosesan makanan kering.

"Aktiviti tersebut menimbulkan masalah bau dan kekotoran sehingga mengganggu penduduk sekitar.

"Tindakan sitaan dibuat di bawah Seksyen 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, MPS telah membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya oleh pihak berkuasa ke atas aktiviti oleh warga asing berkenaan.

Seramai 30 anggota dari Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS dan dua pegawai Jabatan Pelesenan MPS terlibat dalam operasi itu.