Senoi Praaq bantu kawalan di 23 lokaliti PKPD

Mior Faridalathrash (depan, kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail di PKTK Batu 7, Jalan Pahang, Tapah pada Khamis.
Mior Faridalathrash (depan, kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail di PKTK Batu 7, Jalan Pahang, Tapah pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Khidmat Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq ditugaskan membantu polis membuat kawalan termasuk di laluan tikus di 23 lokaliti perkampungan orang asli yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Daerah Batang Padang, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, walaupun tiada laluan tikus yang dikesan di kawasan terlibat, kawalan ketat tetap dilakukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Setakat ini belum ada (laluan tikus) sebab itu kita minta bantuan Platun PGA untuk buat kawalan, malah, penduduk orang asli juga memberi kerjasama baik kepada kita.

"Tidak dinafikan kawasan terlibat memang luas tetapi kita buat kawalan mengikut kemampuan. Kita juga menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Penerangan untuk beri penerangan terhadap kesannya jika mereka keluar dari kawasan PKPD," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di setiap Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mukim Bidor, Batang Padang dan Chenderiang, di sini pada Khamis.

Biarpun kawasan Tapah sering melaksanakan PKPD, Mior Faridalathrash menegaskan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah berupaya untuk meneruskan tugas.

"Jika perlu Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak sedia beri bantuan.

Bagaimanapun, satu platun membabitkan 33 anggota Senoi Praaq telah dihantar membantu kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 784 orang disahkan positif hasil saringan yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang.

"Saringan kesihatan telah dijalankan kepada 5,165 penduduk dan lapan kematian telah dilaporkan.

"Polis akan membuat kawalan sehingga pihak PKD menjalankan saringan terhadap penduduk. PKPD yang bermula pada Rabu dijangka berakhir pada 24 Ogos ini," katanya.

Kata Mior Faridalathrash, penduduk orang asli juga dibenarkan untuk memasarkan hasil hutan mereka bagi menjamin sumber pendapatan penduduk.

"Kita ada buat perbincangan sekiranya hendak pasarkan (hasil hutan) boleh hantar di pos kawalan dan orang (peraih) akan ambil.

"Penduduk tetap tidak dibenarkan keluar. Tiada masalah untuk mereka pasarkan kerana itu cara hidup mereka jadi kita tidak boleh nak halang," katanya.