X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

MAIPk kaji penggunaan semula tanah kubur

Mohd Annuar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Persidangan MAIPk kali ke 218 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan mengemukakan dasar dan program baharu penggunaan serta pengurusan tanah perkuburan Islam kepada kerajaan negeri seawal-awalnya tahun hadapan.

Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, di bawah dasar itu, tanah perkuburan sedia ada dan dikenal pasti akan dibangunkan menggunakan konsep kitaran semula supaya dapat diurus secara ekonomik dan produktif.

Menurutnya, kajian dasar membabitkan pakar dan penyelidik diketuai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

"Mereka telah memberikan kajian awal. MAIPk berpuas hati dengan perkara itu dan akan diteruskan supaya kajian lebih menyeluruh dapat dilakukan.

"Kita menjangkakan kajian ini dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Persidangan MAIPk kali ke 218 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kajian rintis program itu telah dimulakan penyelidik di Tapak Perkuburan Islam Gurap di Ipoh pada awal tahun ini sebelum diperluas ke seluruh tapak perkuburan Islam di Perak.

Katanya, kajian itu bagi menilai peratus penggunaan semasa tanah perkuburan, keluasan keseluruhan, angka dan nisbah kematian, pertambahan penduduk dalam kawasan kariah berkenaan serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

"Kita menganggarkan keseluruhan kawasan tanah kubur di negeri Perak berjumlah 959 membabitkan keluasan 1,454 hektar.

"Jadi pada kita sudah sampai masa memperkenalkan (dasar baharu) dan mendidik masyarakat kepada program kitaran semula sebab (sesetengah kawasan tanah kubur) ada yang sudah melebihi 80 tahun tetapi tidak boleh diusik dan kita tengok ia terbiar dipenuhi hutan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Annuar berkata, penggunaan tanah di negeri ini semakin berkurangan dan keutamaan harus digunakan bagi memenuhi keperluan kehidupan harian seperti pembangunan rumah, pertanian dan kawasan perniagaan.

Beliau turut memberi contoh di bandar Meru Raya, unjuran dibuat MAIPk bagi keperluan dan kepadatan tanah kubur di situ akan sampai pada 2040.

"Atas faktor itu pengurusan kubur kena lebih teratur, kita perlu selaraskan cara pengurusan kubur kerana sekarang ini dijalankan secara persendirian.

"Di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) perlu ada satu unit pengurusan kubur untuk memberi garis panduan dan cara baru susunan termasuk tidak membenarkan binaan secara kekal supaya apabila kita hendak membuat kitaran semula nanti, ianya tidak menjadi masalah," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!