PEKA peluang kedua bina kehidupan baharu selepas bebas penjara

Azman sudah mampu melakukan kerja mengimpal dan memotong plat selain menghasilkan pelbagai produk seperti bangku, kerusi, meja, tempat meletakkan pasu bunga serta penyidai pakaian.
Azman sudah mampu melakukan kerja mengimpal dan memotong plat selain menghasilkan pelbagai produk seperti bangku, kerusi, meja, tempat meletakkan pasu bunga serta penyidai pakaian.
A
A
A

POKOK SENA - Kemahiran mengimpal yang dipelajari seorang banduan lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Pokok Sena di sini kini menjadi bekalan penting untuk membina kehidupan baharu selepas dibebaskan kelak.

Azman, 30-an, yang sudah menjalani hukuman lebih setahun berkata, penyertaannya dalam Program Peluang Kedua Anda (PEKA) sejak dua bulan lalu memberi banyak ilmu baharu dalam bidang tersebut.

Menurutnya, dia kini sudah mampu melakukan kerja mengimpal dan memotong plat selain menghasilkan pelbagai produk seperti bangku, kerusi, meja, tempat meletakkan pasu bunga serta penyidai pakaian.

“Saya masuk program ini sudah dua bulan. Banyak ilmu yang saya dapat, antaranya boleh mengimpal dan memotong plat.

“Kursus ini bagus kerana memberi semangat baharu kepada kami untuk bekerja dalam bidang ini apabila bebas nanti,” katanya semasa ditemui di Penjara Pokok Sena.

Program PEKA yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia itu memberi peluang kepada banduan yang hampir tamat hukuman serta golongan yang berkaitan untuk memperoleh kemahiran sebagai persediaan kembali ke dalam masyarakat.

Penolong Penguasa Penjara Pokok Sena, Mohd Firdaus Nordin berkata, berdasarkan maklumat Program PEKA dan TVET 2026 di penjara tersebut, sebanyak 100 prospek mengikuti enam kumpulan latihan sepanjang tahun ini membabitkan bidang wet skill, kimpalan, elektrik dan pendingin hawa.

Daripada jumlah itu, Wet Skill Siri 1 melibatkan 20 prospek bagi tempoh Januari hingga Jun dan terbahagi kepada tiga bidang iaitu kerja mengikat bata, plaster dan pemasangan jubin manakala Kimpalan Siri 1 melibatkan 15 prospek bagi tempoh April hingga Jun.

Artikel Berkaitan:

Yati berharap kemahiran membuat karipap pusing dan karipap mesin mampu membantunya apabila dibebaskan kelak.
Yati berharap kemahiran membuat karipap pusing dan karipap mesin mampu membantunya apabila dibebaskan kelak.

Sementara itu, Wet Skill Siri 2 melibatkan 20 prospek bagi tempoh Julai hingga Disember, manakala Kimpalan Siri 2, Elektrik Siri 1 dan Pendingin hawa Siri 1, masing-masing melibatkan 15 prospek bagi tempoh Ogos hingga Oktober.

“Semua latihan kemahiran itu di bawah PEKA yang bertujuan untuk membantu prospek sebagai persediaan sebelum mereka kembali kepada masyarakat selepas tamat menjalani hukuman,” ujarnya.

Tidak hanya kemahiran teknikal, peluang kedua turut diberikan kepada prospek wanita menerusi Program Bengkel Amanah Penjara Pokok Sena yang menawarkan latihan dalam bidang pastri, makanan sejuk beku, pembuatan kerepek dan jahitan.

Seorang banduan wanita, Yati, 30-an, berkata, latihan membuat makanan memberi perubahan besar kepadanya kerana daripada zero ilmu memasak, kini dia sudah mampu menghasilkan karipap pusing dan karipap menggunakan mesin.

“Dulu saya tidak tahu memasak, tetapi sekarang sudah tahu membuat tepung dan menyediakan inti ayam serta daging lada hitam.

“Kalau sudah bebas nanti, saya mahu jual karipap di luar. Ilmu yang diperoleh di sini diharap dapat membantu saya nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!