Pemaju ingkar garis panduan banjir berdepan tindakan tegas - Exco Johor

JOHOR BAHRU - Pemaju hartanah di sekitar bandar raya ini diberi amaran supaya tidak mengabaikan aspek mitigasi banjir dalam pelaksanaan projek pembangunan mereka.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemaju yang gagal mematuhi garis panduan pembangunan sehingga menyebabkan kawasan sekitar dilanda banjir kilat.
Menurutnya, pemaju perlu bertanggungjawab menyediakan kemudahan seperti kolam takungan sementara, parit monsun dan penanaman rumput bagi mengurangkan risiko banjir.
Katanya, kegagalan melaksanakan perkara berkenaan boleh menyebabkan kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir turut terjejas akibat pembangunan tidak mengikut ketetapan.
"Saya beri amaran kepada semua pemaju projek supaya pembangunan dibuat mengikut garis panduan. Mereka perlu bangunkan kolam takungan sementara, parit monsun, tanam rumput dan sebagainya. Ini tanggungjawab mereka.
"Tetapi isunya sama ada mereka buat atau tidak, atau buat kemudian untuk dapatkan untung lebih dan projek dapat disiapkan segera, tetapi perkara penting tidak dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Khamis.
Mohd Jafni berkata, tindakan tegas termasuk menghentikan sementara projek pembangunan sudah diambil terhadap sebuah syarikat pemaju di kawasan Iskandar Puteri selepas didapati menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
Katanya, tindakan itu diteruskan walaupun syarikat berkenaan mengemukakan rayuan kerana kesan pembangunan terbabit menyebabkan kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir dipenuhi air tanah.
"Semua syarikat pemaju hartanah khususnya di kawasan pusat bandar Johor Bahru akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diberikan taklimat semula mengenai pematuhan syarat kebenaran merancang (KM).
"Semakan akan dibuat bagi memastikan setiap syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar mendapat kelulusan di atas kertas.
"Kita akan panggil mereka untuk diberikan taklimat semula berhubung isu banjir. Di peringkat PBT, kita sudah ada kebenaran merancang (KM), tetapi perkara itu perlu dihalusi sama ada ia dipatuhi atau tidak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

