Sorok dadah RM10.9 juta dalam semak

Shafien (dua dari kanan) menunjukkan 80 kilogram (kg) syabu dan 804,000 pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM10.9 juta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Khamis.
Shafien (dua dari kanan) menunjukkan 80 kilogram (kg) syabu dan 804,000 pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM10.9 juta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Seorang ahli sindiket dadah antarabangsa ditahan bersama rampasan pil kuda dan syabu bernilai RM10.9 juta yang disorokkan dalam satu kawasan semak di Kuala Jambu, di sini pada Selasa.

Suspek lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tumpat pada jam 10.05 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis terlebih dahulu mengekori suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Jazz di Bendang Pak Yong dan pemeriksaan menjumpai sejumlah kecil heroin dan air ketum.

“Suspek kemudian membawa polis ke satu kawasan semak di Kuala Jambu pada jam 2 petang hari sama.

“Pemeriksaan di kawasan itu menjumpai bungkusan plastik hitam berisi 80 kilogram (kg) syabu dan 804,000 pil kuda keseluruhannya bernilai RM10.9 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Shafien berkata, bekalan dadah itu dianggarkan boleh digunakan kepada 400,000 penagih dadah jenis syabu manakala 804,000 bagi penagih pil kuda.

“Risikan polis dilakukan selama enam bulan terhadap suspek yang dipercayai menyeludup dadah untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan ujian urinnya positif metamphetamine,” katanya.

Tambah beliau, suspek dipercayai ada kaitan dengan kes tangkapan ahli sindiket dadah oleh polis Tumpat pada awal tahun ini.

“Dia ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati mandatori,” katanya.

Pada majlis itu, Shafien turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai kepada pasukan yang berjaya menumpaskan ahli sindiket dadah antarabangsa tersebut.