Teladani kepimpinan Rasulullah SAW
SEBENARNYA menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu kemuliaan tetapi lebih kepada kebertanggungjawaban pemimpin tersebut. Pemimpin bertanggungjawab membela hak anak bangsa dan memperjuangkannya. Seorang pemimpin sudah pasti akan dipuji dan dikritik atas segala tindakan dilakukannya.
Sebagai pemimpin janganlah terlalu seronok bila dipuji dan terlalu marah apabila dikritik. Inilah lumrah dan asam garam perlu dilalui apabila bergelar pemimpin.
Pepatah Melayu mengatakan “rambut sama hitam tetapi hati lain-lain” menunjukkan kematangan budaya kita dalam menerima perbezaan pendapat. Ketika ini perbezaan pendapat amatlah jelas khususnya dalam isu berkaitan politik. Malah lebih parah lagi orang Melayu/Islam melihat suatu perkara daripada kaca mata politik walhal perkara sedemikian bukanlah hal politik.
Parameter semua perkara kini ditelah berdasarkan politik dan melihat individu daripada kem mana yang bercakap. Jika daripada kem sendiri, beribu alasan dicari bagi menyokong dan jika daripada kem bertentangan pelbagai alasan digarap bagi menolak pandangan tersebut.
Masyarakat kita sebenarnya akur dengan sifat manusia yang tidak mungkin sehaluan pendapat dalam setiap perkara dan ruang disediakan oleh undang-undang bagi golongan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran negara untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka dalam cara aman dan munasabah antaranya melalui pilihan raya.
Meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pemimpin atau kerajaan masa kini bukan sahaja dilakukan melalui pilihan raya ataupun demonstrasi awam. Malah terdapat remedi perundangan yang disediakan bagi mencabar tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Tindakan ini dinamakan semakan kehakiman yang boleh difailkan di mahkamah tinggi bagi memperoleh keputusan daripada mahkamah, sama ada tindakan kerajaan itu betul atau sebaliknya.
Sebagaimana kita maklum pemimpin terbaik bagi umat Islam adalah Rasulullah SAW dan antara sifat ditonjolkan sebagai amanat kepada seluruh umat Islam adalah kemaafan serta menolak kejahilan seperti keangkuhan. Berkata benar, amanah, menyampaikan dan cerdas adalah sifat pemimpin agung yang perlu disemai dalam diri pemimpin.
Umpamanya pada tahun 8 Hijrah semasa pembukaan Kota Makkah oleh tentera Islam diketuai oleh Rasulullah SAW, Rasulullah telah memerintahkan para sahabat memanggil kesemua penduduk Quraisy Makkah untuk bertemu dengannya di hadapan Kaabah dengan janji bahawa mereka tidak akan diapa-apakan.
Apabila Rasulullah bertanya kepada Quraisy Makkah pada fikiran mereka apakah yang akan dilakukan terhadap mereka, Quraisy Makkah menjawab “saudara mulia, anak kepada saudara kami yang mulia”. Rasulullah mengisytiharkan bahawa Baginda memaafkan mereka dan membebaskan mereka dengan menyatakan bahawa “Wahai Quraisy, kamu semua daripada Adam a.s dan Adam berasal daripada tanah. Maka buangkanlah sifat angkuh dan sombong kamu”.
Jika dinilai dari sudut emosi pastilah dendam yang membara di hati umat Islam namun dendam tersebut ditenggelamkan dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW. Ia menzahirkan ketinggian swadaya Rasulullah melihat suatu perkara itu apatah lagi secara jangka panjangnya ia akan membawa manfaat kepada agama Islam itu sendiri.
Hikmah Rasulullah memaafkan kafir Quraisy ketika itu, memberi iktibar kepada Quraisy pada masa itu dan kepada kita kini, bahawa Rasulullah bukannya bermusuh dengan orang Quraisy tetapi dengan sikap angkuh dan sombong mereka yang menolak agama Islam. Walaupun Quraisy pada asalnya merupakan musuh utama Rasulullah dan umat Islam yang memerangi Rasulullah SAW dan tentera Islam dalam peperangan, sikap Rasulullah memaafkan mereka cukup menyentuh jiwa.
Orang Quraisy tersebut akhirnya memahami hikmah Rasulullah memaafkan mereka dan ia mendorong ramai dalam kalangan mereka memeluk agama Islam, seterusnya menyertai ekspedisi peperangan riddah (peperangan terhadap golongan murtad) serta ekspedisi peperangan terhadap kerajaan Farsi dan Roman dalam usaha kerajaan Khalifah Islam menyahut seruan dakwah agama ke seluruh alam. Malah mereka menjadi wira dalam sejarah Islam.
Rasulullah telah berjaya memerangi sikap keangkuhan dan kesombongan serta kepercayaan jahiliah Quraisy dan menggambarkan kepada masyarakat Islam kepentingan mendidik jiwa dan rohani umat Islam dibandingkan dengan menghukum semata-mata apabila mendapat kuasa.
Pemimpin ketika ini perlu meneladani kepimpinan Rasulullah SAW bagi memacu negara dengan lebih cemerlang lagi. Apalah gunanya jika mendapat kekuasaan tetapi maruah negara dan agama tergadai kerana kita lebih lunak menduduki kerusi empuk berbanding membantu rakyat jelata.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)