Polis siasat artikel berkaitan penjualan sijil digital vaksin palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan artikel penjualan sijil digital vaksin palsu yang dipercayai dimuat naik oleh seorang individu di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan artikel berkenaan yang menyatakan bahawa sijil digital palsu sudah mula dijual dalam talian.

"Satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu).

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain)," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin ini.

"Orang ramai turut diminta agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti ini," katanya.

Pada Selasa, tular di media sosial berkaitan penjualan sijil digital vaksin palsu yang didakwa sudah mula dijual dalam talian.

Artikel Berkaitan: