Pemancing hilang ditemukan lemas di Sungai Kuantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Padang di sini, Selasa ditemukan lemas pada Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Anuar Hassan berkata, mayat, Azam Zahari Mat Nawi, 42, ditemukan pada kira-kira jam 8.50 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), lima meter dari lokasi dia dikatakan memancing bersama rakannya.

Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.11 malam Selasa sebelum tujuh anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dibantu unit PPDA Kuantan digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Operasi yang diteruskan hari ini selepas ditangguhkan semalam berjaya menemukan mangsa (Azam Zahari) pada kedalaman tiga meter sungai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa menetap di Kampung Padang dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan penduduk kampung itu ditamatkan kira-kira 11 pagi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: