Pondok, pokok kelapa haram di HSK Tersang dimusnahkan

PHD Raub memusnahkan pondok dan pokok kelapa yang ditanam secara haram di HSK Tersang Raub. Foto: Ihsan JPNP
PHD Raub memusnahkan pondok dan pokok kelapa yang ditanam secara haram di HSK Tersang Raub. Foto: Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak lima pondok serta 15 pokok kelapa yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Tersang, Raub telah dimusnahkan pasukan Hutan Daerah Raub pada Isnin dan Selasa.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapati ada penerokaan tanah secara haram dilakukan ketika operasi penguatkuasaan penerokaan hutan simpan secara haram diadakan.

Menurutnya, pihaknya telah memusnahkan lima pondok yang dibina selain turut bertindak mencabut pokok kelapa yang ditanam.

"Kami tidak menolak kemungkinan kegiatan ini didalangi individu tertentu bagi menjalankan aktiviti pertanian secara kekal dan kontan. Kalau ikutkan sebahagian kawasan berkenaan telah diratakan menggunakan jentera.

"Kegiatan ini masih baharu dilakukan kerana mereka hanya menanam 15 pokok kelapa yang berusia antara enam bulan hingga setahun," katanya pada Rabu.

Operasi penguatkuasaan itu disertai seramai 22 anggota Pejabat Renjer Benom, Pejabat Renjer Tersang dan Unit Tindakan Khas (UTK) Raub.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, tempat berkenaan telah ditinggalkan namun usaha mengesan dalang yang menceroboh Hutan Simpan Kekal Tersang itu akan tetap dilakukan.

Jelasnya, tinjauan di kawasan terbabit mendapati kumpulan terbabit yang dipercayai antara lima hingga 10 orang bertindak menebang beberapa pokok balak selain aktiviti meratakan bukit turut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahril menambah, sekiranya kegiatan berkenaan gagal dikesan lebih awal, penerokaan akan menjadi lebih luas dan menyebabkan kerosakan pada HSK Tersang yang terkenal dengan pelbagai spesies pokok balak berkualiti tinggi.

"Saya mengingatkan pada mana-mana pihak supaya tidak cuba menceroboh hutan simpan di daerah ini, mereka yang berada dalam hutan simpan tanpa permit atau kebenaran boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

"Dalam kawasan hutan simpan apa juga aktiviti tidak boleh dilakukan melainkan selepas mendapat kebenaran daripada PHD dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), banyak kes mereka yang berada dalam hutan simpan kekal tanpa permit dikenakan kompaun," katanya.