PM interim redakan suhu, elak kemelut politik berpanjangan

 Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Perdana Menteri sementara (interim) mampu meredakan suhu dan dapat mengelakkan kemelut politik yang dilihat semakin berpanjangan di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, dengan adanya Perdana Menteri interim dan kerajaan interim, negara pastinya berupaya untuk menangani pandemik Covid-19, sekali gus mempercepatkan program vaksinasi dan membantu kebajikan rakyat yang terkesan dengan wabak itu.

"Sudah tiba masanya Perdana Menteri interim dilantik bagi mengelak negara diletakkan dalam krisis perlembagaan sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

"Kerajaan interim boleh meredakan suhu politik dengan semua parti terlibat untuk tangani Covid-19, dengan sendiri wujud gencatan senjata politik sekali gus tiada aktiviti jual beli membabitkan ahli Parlimen.

"Inilah masa semua pemimpin politik tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang untuk menyokong melantik Perdana Menteri interim bagi memberi tumpuan dan memastikan usaha vaksinasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, ia juga dapat meredakan suhu kemelut politik berpanjangan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu berkata, menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka dia boleh pilih sama ada meletakkan jawatan atau menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen.

Jelasnya, berikutan pandemik Covid-19 yang ketika ini masih melanda negara dan kes masih membimbangkan, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Baginda boleh menggunakan kuasa di bawah Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan melantik seorang Perdana Menteri baharu mengikut budi bicara Seri Paduka Baginda dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Selepas tiga perkara ini dicapai dan negara telah mencapai imuniti kelompok, maka Perdana Menteri interim mesti menasihati Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen bagi diserahkan mandat kembali kepada rakyat untuk diadakan PRU15," katanya.