Selangor FC 2 rencat misi Sarawak United di Cheras

Pemain Selangor FC 2 meraikan kejayaan mengikat Sarawak United pada aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi. - Foto Selangor FC
Pemain Selangor FC 2 meraikan kejayaan mengikat Sarawak United pada aksi Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi. - Foto Selangor FC
A
A
A

SARAWAK United terlepas peluang merampas kedudukan Liga Premier apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor FC 2 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi.

Satu mata dikutip Sarawak United menyaksikan mereka kekal di tangga ketiga berkongsi 28 mata bersama Terengganu FC II di kedudukan kedua, dengan mengekori rapat Negeri Sembilan FC yang menerajui takhta liga dengan 29 mata.

Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan baik apabila saling berbalas serangan, dengan kedua-dua barisan pertahanan pasukan dipaksa bekerja keras menangkis percubaan ke arah pintu gol.

Selangor FC 2 yang gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi terakhir hampir membuka jaringan pada minit ke-19, namun percubaan rembatan deras pemain tengah import Alexander Agyarkwa Ameyaw terkena tiang.

Tersentak dengan serangan itu, Sarawak United pantas melancarkan gerakan balas sebelum penyerang import dari Korea Selatan Lee Chang-hoon terlepas peluang keemasan meledak gol pembukaan apabila rembatan ‘first timer’ dari luar kotak penalti sedikit melewati palang gol Selangor FC 2.

Selepas 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan, Selangor FC 2 memulakan babak kedua dengan bergaya menerusi jaringan T Saravanan pada minit ke-49 dan berjaya mempertahankan kedudukan hingga ke penghujung babak permainan.

Penjaga gol Selangor FC 2, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman wajar diberi pujian apabila bertindak berani dan cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan dalam usaha memastikan gawang dari dibolosi.

Bagaimanapun, sedikit kealpaan barisan pertahanan membawa padah apabila Sarawak United bijak menghidu ruang untuk meledak gol penyamaan hasil percubaan pemain gantian Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-87 yang menerima lorongan rakan sepasukan dari luar kotak penalti.

Artikel Berkaitan:

Keputusan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan sekali lagi terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas mencatat keputusan sama pada aksi pusingan pertama liga, bulan lepas.

Selangor FC 2 kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 22 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.- Bernama