Krisis air: Terengganu siasat korek pasir punca paip bocor

Kerja-kerja membaiki kebocoran paip utama yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan giat dijalankan.
Kerja-kerja membaiki kebocoran paip utama yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan giat dijalankan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan aktiviti mengorek pasir antara punca kebocoran paip utama yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan mengakibatkan gangguan bekalan air di dua daerah sejak lebih seminggu lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan dianggotai beberapa jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu (Satu) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

"Jawatankuasa itu telah bermesyuarat pada awal Ogos lalu bagi menyiasat punca kebocoran paip bersaiz 1200 milimeter (mm) itu termasuk dakwaan berpunca daripada aktiviti mengorek pasir," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Satu pada Selasa.

Masalah gangguan bekalan air yang berlaku sejak 2 Ogos lalu di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan 28,700 akaun pengguna dijangka pulih secara berperingkat bermula Sabtu.

Antara kawasan terlibat di Kuala Nerus ialah Bukit Jong, Maras, Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Di Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Teluk Menara dan Jeram.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu berlarutan tujuh hari lagi

Krisis air: JBPM hantar bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu

Krisis air: Air percuma dua bulan kepada penduduk terjejas

Artikel Berkaitan: