X

Kindly register in order to view this article
!

Krisis bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu berlarutan tujuh hari lagi

Krisis gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lepas (2 Ogos) dijangka terus berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.
A
A

KUALA TERENGGANU - Krisis gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lepas (2 Ogos) dijangka terus berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.

Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan semua penduduk di kawasan yang terjejas itu akan tetap mendapat bekalan air bersih melalui beberapa inisiatif yang telah disediakan menjelang kerja pembaikan siap pada Rabu depan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sebanyak 20 unit lori tangki telah disediakan dengan bantuan daripada operator negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Antaranya Pengurusan Air Pahang Berhad, Air Kelantan Sdn Bhd, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka Berhad, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Darul Aman dan Syarikat Air Negeri Sembilan yang akan meneruskan bantuan penghantaran air ke kawasan terjejas sehingga krisis ini selesai.

"Selain itu, sebanyak 66 tangki statik juga disediakan bagi memudahkan pengguna untuk mengambil bekalan air dari semasa ke semasa manakala tambahan 34 tangki lagi akan ditempatkan secara berperingkat," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah, Syarikat Air Terengganu (Satu), Dr Burhanuddin Helmi Mohamed dan Pengarah Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Ir Azrul Raimee Ramli.

Dr Mamad berkata, krisis gangguan bekalan air kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku di Terengganu melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri serta 104 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ia juga adalah kerosakan pam yang pertama berlaku di dasar sungai Terengganu.

Satu sebelum ini memaklumkan bahawa krisis gangguan bekalan air itu adalah disebabkan pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu pada awal pagi Isnin lepas.

Tempoh pembaikan agak rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta berkepakaran tinggi untuk membaikinya. Sehingga kini, khidmat 10 penyelam telah digunakan dan kerja pembaikan berterusan selama 24 jam.

Antara kawasan terlibat di Kuala Nerus ialah Bukit Jong, Maras, Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Di Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas ialah Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Teluk Menara dan Jeram.

Ditanya sama ada kerosakan pam itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir sungai Terengganu yang dijalankan sebuah syarikat, Dr Mamad berkata, siasatan sedang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian Terengganu.

"Berdasarkan maklumat awal, memang ada hakisan di bawah paip yang menyebabkan wujudnya 'kawah' sedalam 10 meter. Siasatan akan dijalankan menggunakan sonar untuk mengenal pasti sama ada 'kawah' itu juga wujud di tempat lain bagi mengelak masalah sama berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata, kerja-kerja menutup paip yang pecah dengan menggunakan kaedah clamp diharap berjalan lancar untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan mengikut jadual kerja yang dirancang.

"Selain itu, Satu juga akan memulakan operasi Loji Bukit Berapit di bawah Projek Kuala Terengganu Utara dengan keupayaan mengeluarkan 50 juta liter sehari (MLD) dalam tempoh dua minggu lagi," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!