X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Krisis air: JBPM hantar bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu

Anggota bomba yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan sedang menjalankan tanggungjawab masing-masing di lokasi kawasan terjejas. - Foto ihsan JBPM Terengganu
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menghantar empat jentera tangki air berkapasiti 20,000 liter setiap satu ke kawasan yang berdepan krisis air bagi membantu penduduk terjejas.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, misi bantuan kemanusiaan ini bertujuan meringankan beban penduduk berikutan masalah ketiadaan air yang berlarutan sejak Isnin lalu.

Menurut beliau, misi bantuan ini juga merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) JBPM kepada penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang terkesan dengan masalah ketiadaan air.

"Sehingga ke hari ini iaitu hari keenam, lebih 700,000 liter air telah diagihkan untuk kegunaan penduduk di kawasan berkenaan dan misi kemanusiaan ini telah digerakkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Kuala Nerus.

"Turut terlibat dalam misi bantuan ini termasuk BBP Kuala Berang; BBP Marang dan BBP Jertih yang masing-masing menghantar sebuah bantuan jentera tangki air," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka pulih pada 7 atau 8 Ogos nanti.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 25 kawasan di Kuala Nerus iaitu keseluruhan Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuruh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa dan Alor Damak.

Turut terlibat Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Bagi daerah Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas adalah Buluh Gading Masjid, sebahagian Banggol Peradong, Buluh Gading Dewan, Kampung Manir, Kampung Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kampung Kebor Air, Paya Datu, Kampung Telok Menara dan Jeram.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja membaiki paip itu dijangka mengambil masa antara empat hingga lima hari bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai.

Bagi memastikan penduduk terjejas mendapat bekalan air, Satu telah menggerakkan lapan buah lori tangki untuk diagihkan kepada kawasan terlibat dengan bantuan pasukan BBP Kuala Terengganu dan Syarikat Pengurusan Air Pahang (Paip).

Menurut kenyataan itu, Satu juga sedang berusaha menambah 10 buah lori tangki air lagi dengan memohon bantuan dari operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melancarkan lagi proses agihan air.

Sebanyak 36 buah tangki statik baharu ditempatkan di sekitar kawasan terlibat mulai malam Selasa bagi menambahkan bilangan tangki sedia ada.

Pergerakan lori tangki dan kedudukan tangki statik boleh disemak melalui https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker dan aplikasi MySatu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!