Maqis mohon tambah anggota jaga 57 sempadan negara

Salahuddin melihat barang-barang rampasan Maqis.
Salahuddin melihat barang-barang rampasan Maqis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengemukakan kertas permohonan kepada Kabinet bagi penambahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang berdepan kekurangan kritikal untuk mengawal 57 pintu sempadan negara.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kekuatan anggota Maqis hanya berjumlah 447 sahaja seluruh negara, ia memerlukan penambahan segera meskipun negara berdepan kedudukan kewangan yang runcing.

“Saya akan berjuang dalam mesyuarat Kabinet untuk memperkukuhkan lagi struktur Maqis ini, ada keperluan untuk menambah pegawai seperti dilaporkan. Maqis perlukan kira 300 lagi tambahan namun, jika dapat separuh daripada itu juga sudah baik.

“Maklumlah pintu sempadan negara kita begitu kritikal, luas ia termasuk Sabah dan Sarawak. Jadi kita memerlukan kekuatan keanggotaan, saya akan membawa cadangan ini pada hujung Mac ini.

“Tapi, memandangkan keadaan kewangan itu bermasalah, kita tunggulah keputusan Kabinet, berapa jumlah anggota yang dapat dilantik untuk memperkukuhkan Maqis belum pasti lagi. Saya harap pegawai-pegawai yang diberikan amanah ini dapat menjaga sempadan kita,” katanya ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Maqis 2018, di di sini, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin turut memberi jaminan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung kolaborasi Maqis dan Jabatan Kastam, yang dikenal pasti tidak memberikan kerjasama yang baik.

“Kolaborasi Maqis dengan badan penguatkuasa lain seperti kastam kita akan perkemaskan. Saya akan bincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“ Saya mahu supaya perkara ini diperbetul kerana kolaboarasi ini cukup penting. Maqis bawah MOA manakala kastam bawah MOF, jadi kita perlu ada satu persefahaman yang mesti lebih dan saling melengkapi di pintu sempadan negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu,Salahuddin berkata, sepanjang 2018 , Maqis telah melakar beberapa siri kejayaan dalam mempertahankan biosekuriti dan keselamatan makanan negara.

Pada tahun lalu, 107 kes tangkapan, 29 kes pendakwaan dengan nilai rampasan berjumlah RM13 juta dan nilai denda sebanyak RM333,200.

“Antara kes yang menjadi tumpuan media ialah kes penahanan oleh Maqis Pulau Pinang melibatkan dua kontena sardin dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing, Genus Anisaksis spp yang diimport dari China.

“Selain itu, Maqis juga berjaya menyumbang kutipan hasil kerajaan lebih RM71 juta berbanding peruntukan mengurus sebanyak RM28 juta yang disalurkan,” katanya.

Hari ini, seramai 30 orang penguatkuasa dan lima orang bukan daripada skim penguatkuasa menerima anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2018.