Seorang lagi ditahan kes pemerdagangan manusia

PDRM
PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia yang didakwa bagi tujuan eksploitasi seks, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, penahanan lelaki berumur lingkungan 30-an di Pulau Pinang kira-kira jam 10.30 pagi itu menjadikan setakat ini dua orang ditahan, termasuk seorang selebriti pada 1 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

“Kami masih menyiasat kes berkenaan dengan lelaki itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 13 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan penahanan seorang selebriti lelaki berumur 40-an bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini, yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari.

Susulan penahanan selebriti itu, polis menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: