Krisis air: Air percuma dua bulan kepada penduduk terjejas

AHMAD
AHMAD
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersetuju memberikan air percuma selama dua bulan membabitkan 28,700 akaun di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terlibat gangguan bekalan air sejak 2 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bil air percuma selepas baik pulih selesai itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap kesabaran penduduk yang terjejas sepanjang tempoh gangguan berkenaan.

“Kerajaan negeri amat memahami kesulitan rakyat menghadapi krisis air yang sedang berlaku di daerah Kuala Nerus dan beberapa kawasan Kuala Terengganu akibat paip air pecah di dasar Sungai Terengganu.

“Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahmad Samsuri, sehingga kini kerja-kerja baik pulih kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu masih diteruskan oleh Syarikat Air Terengganu (Satu) bagi memastikan ia siap mengikut jadual ditetapkan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi krisis bekalan air itu.

"Ia termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian.

“Sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri sedang menguruskan bekalan air minuman bersih kepada semua penduduk yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Bersama kita doakan kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka pulih pada Rabu.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 25 kawasan di Kuala Nerus iaitu keseluruhan Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuruh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa dan Alor Damak.

Turut terlibat, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Bagi daerah Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas ialah Buluh Gading Masjid, sebahagian Banggol Peradong, Buluh Gading Dewan, Kampung Manir, Kampung Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kampung Kebor Air, Paya Datu, Kampung Telok Menara dan Jeram.