Lebih 100,000 nelayan divaksin menjelang November

Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) menyerahkan bakul makanan secara simbolik kepada Mohamed Akmal pada Program Penyerahan Kotak Makanan MAFI di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, Taiping pada Isnin.
Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) menyerahkan bakul makanan secara simbolik kepada Mohamed Akmal pada Program Penyerahan Kotak Makanan MAFI di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, Taiping pada Isnin.
A
A
A

TAIPING - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan lebih 100,000 nelayan berdaftar dengan agensi tersebut akan menerima vaksin menjelang November depan.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, keyakinan itu disuarakan susulan pengumuman yang dibuat Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa petugas barisan hadapan agromakanan akan divaksin bermula 1 September.

Menurutnya, bukan sahaja nelayan tempatan malah nelayan warga asing juga akan menerima vaksin berkenaan.

"Kita menjangkakan menjelang November nelayan-nelayan semua akan mendapat vaksin. Kalau dapat cepat lagi baik sebab kita ada stok bekalan vaksin yang cukup untuk diberikan kepada rakyat.

"Nelayan yang berdaftar dengan kita ada lebih 100,000 lebih tetapi setakat ini kita tak ada jumlah mereka yang telah menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Jika pemberian vaksin ini dibuat secara berpusat melalui agensi kita akan dapat jumlah yang lebih tepat," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Kotak Makanan MAFI di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, di sini pada Isnin.

Hadir sama pada program tersebut, Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman serta Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Menteri, di sini akan menjejaskan sedikit pengeluaran hasil laut terutama udang dan ikan untuk pasaran setempat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun kekurangan bekalan ikan tersebut akan ditampung oleh kawasan-kawasan lain bagi memastikan ia mencukupi.

Beliau berkata, kira-kira 70 peratus daripada ketua isi rumah di kampung tersebut merupakan nelayan dan semua aktiviti perikanan di kawasan itu turut tidak dibenarkan beroperasi.

"Di sini terdapat sebanyak 300 rumah dan 1,500 penduduk. Dalam keadaan begini mereka tidak boleh keluar dan nelayan juga tidak boleh ke laut dan kalau ke laut mereka tak boleh menjual sebab tak boleh keluar dari kawasan ini. Maka sudah tentu mereka berhadapan masalah terputus bekalan makanan, jadi pihak berwajib khususnya pihak pejabat daerah sudah tentu menguruskan bantuan diperlukan.

"Kita berikan sebanyak 300 kotak makanan yang disediakan oleh LKIM. Saya akan minta LKIM bantu sepenuhnya oleh kerana penduduk yang berada di Kampung Menteri ini 70 peratus adalah nelayan. Dalam dua tiga hari lagi kita akan berikan bantuan ikan sejuk beku kepada penduduk untuk mereka bertahan dalam tempoh 14 hari ini," katanya.

Pelaksanaan PKPD di Kampung Menteri itu memberi kesan kepada keperluan hasil laut setempat berikutan empat jeti di kampung berkenaan ditutup selama 14 hari bermula 6 Ogos lalu.

Empat jeti tersebut merupakan kawasan pendaratan utama hasil laut seperti udang, ketam dan beberapa spesies ikan.

Pada 6 Ogos lalu, Ronald mengumumkan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) termasuk untuk golongan peladang, penternak dan nelayan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menurutnya, inisiatif itu juga adalah untuk melindungi kesejahteraan pekerja serta membantu pemulihan ekonomi dan rantaian nilai makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Program vaksinasi untuk industri agromakanan tidak lama lagi