Polis serbu parti hari jadi di kondo mewah

Antara yang ditahan dalam parti persendirian di sebuah kondo mewah di Jalan Perai.
Antara yang ditahan dalam parti persendirian di sebuah kondo mewah di Jalan Perai.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Keseronokan 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam meraikan parti hari jadi di sebuah kondominium mewah di Jalan Perai, di sini mengundang padah apabila diserbu polis pada malam Ahad.

Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang kira-kira jam 11 malam diketuai Pegawai Turus, Deputi Superintendan Akmal Yahya susulan aduan awam berhubung penganjuran parti persendirian di kawasan perumahan berkenaan.

Tanpa menghiraukan ketenteraman penduduk lain, kumpulan itu dikatakan memasang lagu dengan alunan muzik yang kuat sempena meraikan hari jadi salah seorang wanita warga asing itu yang juga penyewa di unit kondominium terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan mendapati unit kondominium di tingkat 19 itu disewa kumpulan wanita berkenaan bersama dua lagi rakan mereka dengan kadar RM1,450 sebulan.

Menurutnya, bagi memeriahkan parti hari jadi itu mereka mengundang rakan dan teman lelaki masing-masing yang dikenali di pusat hiburan sebelum ini ke acara berkenaan.

Anggota polis melakukan pemeriksaan dokumen ketiga-tiga wanita warga Vietnam.
Anggota polis melakukan pemeriksaan dokumen ketiga-tiga wanita warga Vietnam.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun itu didapati sedang leka berhibur sebelum menyedari kehadiran anggota polis.

"Malah ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati lima daripadanya termasuk seorang wanita positif dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Rahimi berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi dan akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Selain itu, mereka yang positif dadah akan disiasat di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.