Langgar SOP, nilai kompaun JPJ bernilai antara RM10,000-RM50,000

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (kiri) yang turut sama melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini pada Ahad. -Foto Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (kiri) yang turut sama melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini pada Ahad. -Foto Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 55 kompaun bernilai antara RM10,000 hingga RM50,000 terhadap pengguna jalan raya yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuklah membawa lebihan penumpang dalam kenderaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Jumlah direkodkan menerusi Op Patuh Covid-19 dalam tempoh sebulan bermula Julai lalu hingga kini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, operasi pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan perdagangan dan persendirian.

Katanya, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Operasi memfokuskan kepada aspek keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap SOP oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang melanggar SOP dikenakan tindakan kompaun RM10,000 bagi kenderaan persendirian manakala RM50,000 bagi kenderaan syarikat,” katanya pada sidang akhbar di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyertah Op Patuh Covid-19 yang dijalankan di hadapan akademi terbabit.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kesalahan utama membawa lebihan penumpang oleh kenderaan awam sebanyak 12 kes diikuti kenderaan persendirian dengan 11 kes.

“Selainnya, masih ada pengusaha pengangkutan awam yang melakukan kesalahan tidak menyediakan kod imbasan dan buku penumpang.

“JPJ komited menjalankan operasi dengan 1,495 keanggotaan di 15 stesen JPJ seluruh negara ini dengan harapan pematuhan terhadap SOP dapat ditingkatkan,” katanya.