Keindahan puisi artistik

Hasil usaha Persatuan Penyair Malaysia, persembahan puisi artistik mula mendapat tempat dalam landskap kesusasteraan tanah air.
Hasil usaha Persatuan Penyair Malaysia, persembahan puisi artistik mula mendapat tempat dalam landskap kesusasteraan tanah air.
A
A
A

DEKLAMASI puisi ialah satu persembahan seni pentas yang amat popular dalam kalangan penggiat sastera.

Perkataan deklamasi berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud “declamare” atau “declaim” yang membawa makna membaca atau menyampaikan sesuatu hasil sastera berbentuk puisi dengan lagu atau gerak tubuh sebagai aset dan alat bantu.

Dalam menikmati estetika kesusasteraan tidak hanya terbatas melalui media bahasa sebagai raga sastera dan pelukisan pengalaman hidup pengarangnya sebagai jiwa sastera, malahan diejawantahkan melalui penampilan ekspresi muzikalisasi sastera dalam penyampaian puisi itu sendiri.

Sebuah puisi dikatakan menarik bukan semata-mata kerana isinya yang indah dan berguna, tetapi juga dilatarbelakangi faktor pendamping lain yang artistik.

Puisi merupakan satu bentuk ragam sastera imaginatif yang perlu dihargai sama tinggi dengan ilmu pengetahuan.

Membaca dan menyampaikan puisi merupakan sebuah kenikmatan yang khusus, bahkan sebagai puncak daripada kenikmatan seni sastera itu sendiri.

Puisi yang dideklamasi serta dimuzikalisasi dengan berkesan akan dapat diresapi sentuhan nilai estetikanya yang tinggi.

Namun perlu diingat, apabila terjadi bentuk ekspresi atau apresiasi yang berlebihan bahkan berlawanan dengan hakikatnya tentu kesejatian makna yang terlukis dalam puisi itu tidak akan sepenuhnya diresapi penonton.

Artikel Berkaitan:

Sebagaimana puisi yang baik dihasilkan dengan rapi, persembahan puisi juga hendaklah rapi. Kemunculan penyampai-penyampai puisi yang dinamakan deklamator adalah penting dalam konteks ini.

Dalam melontarkan istilah deklamator, kita sering menemukan kesilapan waima dalam penulisan mahupun secara lisan.

Deklamator

Akhbar dan majalah sering menuliskannya “pendeklamator”.

Satu hiperkoreksi, kata yang salah dan menyakitkan telinga ini acap juga disebutkan oleh juruacara majlis puisi.

Kata deklamator adalah sejajar dengan kata-kata lain seperti kurator, editor dan inspektor yang tidak memerlukan imbuhan peN dalam ejaan dan sebutan.

Dalam ucapan perasmian Persembahan Puisi Artistik berjudul Wajah Merdeka bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan yang diadakan 4 Ogos lepas, Dr Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka mengatakan bahawa persembahan puisi artistik (PPA) masih belum dikenali dengan meluas di negara kita.

Namun dengan usaha giat Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), persembahan puisi artistik yang dipelopori Dato’ Rahman Shaari mula dikenali dan mendapat tempat dalam ranah kesusasteraan tanah air.

Pada peringkat awal, Rahman Shaari mengetengahkan konsep puisi deklamatori yang mengadunkan elemen-elemen teater dalam pementasan puisi.

Istilah lain untuk puisi jenis ini ialah puisi auditorium yang berlawanan dengan sifat puisi kamar atau puisi tak deklamatori.

Puisi deklamatori bukan sekadar puisi yang dibaca untuk kepuasan sendiri tetapi juga memberikan kepuasan kepada penonton untuk dinikmati apabila dipentaskan.

Saya membuat pengamatan dan berfikir-fikir kenapa puisi deklamatori yang kelihatan hampir sempurna ini ditukar konsepnya kepada puisi artistik yang dimunculkan pada tahun 1993 dalam persembahan berjudul ‘Milah Anak Maksum’ di Dewan Syed Nasir, DBP. Ketika itu, Rahman Shaari mengajar kursus Seni Deklamasi di Universiti Malaysia.

Jawapannya mudah jika kita turut mengamati sosok kesusasteraan Rahman Shaari itu sendiri. Beliau bukan sahaja mengajar seputar puisi, tetapi tumbuh dewasa dan kemudiannya menumpahkan pula kemahiran dan pengalamannya di pentas melalui pelibatan dan pengarahan persembahan puisi dan teater.

Banyak persembahan puisi yang telah beliau arahkan. Antaranya Projek Hati (1988), Gadis dengan Bulu Ayam (1989), Negeri Kalbu (1999), Senandung Sukma (2001), Tiga Warna (2003), Sayap Kemerdekaan (2010), Salam Merdeka (2017), Langkahan Wira (2020) dan Wajah Merdeka (2021). Sudah tentu dalam kembara nan panjang, beberapa perkara perlu diberi pembaharuan.

Persembahan puisi tidak cukup sekadar diadunkan dengan seni teater malahan padanan dengan seni lakon, seni tari, seni muzik, seni lagu dan seni digital menjadi ramuan rempah ratus yang lebih menyelerakan untuk dihidangkan kepada penonton.

Kesesuaian puisi artistik dilihat lebih berimpak tinggi jika melibatkan persembahan dalam bentuk kumpulan berbanding individu.

Adunan kepelbagaian ini dipersembahkan dalam pelbagai ragam karakter, nada dan gaya namun keindahannya dapat dirasakan dengan lebih harmoni apabila berlakunya pertautan dan kesinambungan idea dan makna antara deklamator.

Persembahan

Sebagai contoh, dalam Persembahan Puisi Artistik Wajah Merdeka telah menampilkan tiga belas wajah yang merupakan gabungan penyair, pemain teater, penyanyi lagu puisi dan artis.

Gaya persembahan dan karakter berbeza antara Dato’ Rahman Shaari, Dato’ Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob, Zaen Kasturi, Wacana Minda, Razali Mohd Yusoff, Ahmad Ramli, Abot, Datin Barupawati Utamaju, Dr Sheila RS, Raihani Mohd Saaid, Syahidatul Munirah, Intan Marhayu dan Farah Wahidah dapat dilihat dengan ketara namun perbezaan itu menjadi ‘rythm’ yang mengasyikkan dan mendapat pujian rata-rata pelayar media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seniman tanah air, Ahmad Ramli mengungkapkan bahawa persembahan puisi artistik menyingkap rahsia jiwa puisi.

Persembahan yang digarap bersama-sama unsur seni artistik mampu menjelaskan mesej mendalam lagi melebar yang ingin disampaikan.

Seseorang deklamator hendaklah sanggup beraksi mengikut isi dan gaya karya.

Penghayatan makna karya dalam penyampaian deklamator akan mengheret sama penonton dan pendengar dalam setiap diksi yang dilontarkan.

Penambahan elemen artistik seperti latar muzikal, gaya lakon dan gerak tari akan menguatkan lagi penghayatan penonton berbanding hanya melihat sebuah persembahan pegun berasaskan vokal, mimik muka, gerak tubuh dan tangan semata-mata.

Gaya berkait rapat dengan dua hal, iaitu keperibadian dan keyakinan. Keperibadian inilah yang akan menghasilkan identiti untuk diingati.

Memetik kata-kata figura tokoh kepenyairan negara, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, “ Selama 25 tahun saya berkecimpung dalam dunia puisi, inilah kali pertama saya bertemu dengan dua persatuan yang tersangat aktif memperjuangkan puisi iaitu PENYAIR dan PEMUISI.

Saya saksikan kesungguhan dan kecintaan yang luar biasa dua persatuan ini mengangkat martabat puisi dalam kalangan rakyat hingga luar negara.

Semoga puisi terus diminati, dihormati dan disanjung masyarakat seperti negara-negara maju di Barat”.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Penyair Malaysia