Dua ADUN UMNO teruskan komitmen bawah PN Kedah

Norsabrina Mohd Noor, Suraya Yaacob
Norsabrina Mohd Noor, Suraya Yaacob
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Kedah tidak terkesan dengan tindakan parti itu di peringkat Pusat yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, setakat ini, belum ada arahan daripada UMNO Pusat agar kesemua ADUN parti itu perlu menarik sokongan di peringkat negeri.

“Tiada arahan dari UMNO Pusat (untuk tarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional Kedah),” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini, semua urusan pentadbiran berjalan seperti biasa dan dua ADUN UMNO di Kedah meneruskan komitmen bersama PN Kedah.

“Jadi ADUN UMNO boleh terus bekerja macam biasa, bawah kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN Kedah,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Muhammad Sanusi pada Rabu turut mengesahkan kehadiran Suraya dalam mesyuarat Exco yang diadakan secara maya walaupun kerajaan PN Pusat berdepan pergolakan.

Ini bermakna penarikan sokongan UMNO hanya membabitkan ahli Parlimen parti itu di peringkat Pusat, tanpa menjejaskan kedudukan wakil rakyat UMNO di peringkat negeri.

PN Kedah diwakili Pas dengan 15 kerusi manakala enam kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua kerusi UMNO menjadikan keseluruhan 23 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Dua kerusi UMNO terbabit diwakili ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Sekiranya kedua-dua ADUN UMNO itu menarik diri daripada terus menyokong kerajaan sedia ada, ia langsung tidak memberi kesan berikutan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanya mempunyai 13 kerusi.

Pada Selasa, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.