Majlis Getah Malaysia bantu perluas program vaksinasi di lima negeri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) menganjurkan Program Capaian Vaksinasi Covid-19 di lima negeri dalam usaha membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas capaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dalam kenyataan pada Sabtu, MRC menjelaskan program dijalankan di Terengganu, Melaka, Kedah, Selangor dan Kelantan itu merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya sebagai tanda sokongan kepada matlamat KKM untuk mencapai imuniti kelompok dan seterusnya menurunkan kadar kes positif.

“Sehingga kini, sejumlah 13 program telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih dan memberi manfaat kepada 4,452 penerima di Terengganu, Kelantan dan Melaka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” menurut MRC.

Ia menekankan pemilihan masjid sebagai lokasi pemberian vaksin adalah kerana ia lebih strategik bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin dan seterusnya mengekang penularan pandemik.

MRC menambah, sebanyak 2,196 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di sekitar daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Kemaman, Manir dan Dungun di Terengganu manakala 1,260 dos vaksin lagi kepada penduduk di sekitar mukim Serkam, Kampung Asahan dan Krubong di Melaka, serta 996 dos diberikan kepada penduduk di Kota Bharu, Kelantan.

Program Capaian Vaksinasi itu dijangka berterusan sehingga selesai pemberian dos kedua pada 28 Ogos.

Ia juga akan diteruskan di daerah lain seperti Besut, Setiu dan Hulu terengganu bagi membantu KKM meningkatkan peratusan pengambilan vaksin khususnya dalam kalangan penduduk Terengganu, menurutnya.

“Bagi negeri lain seperti Selangor dan Kedah pula, program ini akan dijalankan sebaik sahaja MRC mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Artikel Berkaitan:

“MRC juga merancang untuk menjalankan program vaksinasi Covid-19 bagi semua tenaga kerja di bawah industri getah dan sedang menunggu kelulusan MOSTI,” jelasnya. - Bernama