MDKS kini diisytihar MPKS

Amirudin (kiri) dan Rahilah pada Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKS di saluran Facebook dan YouTube pada Sabtu.
Amirudin (kiri) dan Rahilah pada Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKS di saluran Facebook dan YouTube pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) selepas perakuan status baharu itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, majlis yang diadakan secara dalam talian itu merupakan satu sejarah yang telah lama dinantikan.

Menurut beliau, dengan pengalaman serta kepimpinan Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat, seluruh warga kerja akan lebih bersemangat untuk terus memacu kegemilangan MPKS pada masa depan.

"Alhamdulillah dengan usaha dan perjuangan yang menyuluruh oleh warga kerja MDKS, akhirnya status perbandaran menjadi milik kalian," katanya ketika berucap pada Majlis Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi Pengisytiharan MPKS di saluran Facebook dan YouTube pada Sabtu.

Amirudin berkata, MPKS haruslah mengorak langkah membangunkan Kuala Selangor yang terkenal dengan produk sejarah dan pelancongan di negeri ini.

"MPKS perlu memacu imej baik industri pelancongan supaya dapat meningkatkan tahap keselamatan dan perkhidmatan produk pelancongan bagi memenuhi cita rasa pelancong sekali gus membantu peningkatan sumber ekonomi penduduk setempat dan juga negeri Selangor," katanya.

Beliau memberitahu, tanggungjawab MPKS sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) sememangnya lebih berat kerana melibatkan penyampaian perkhidmatan terus kepada rakyat.

"Perkhidmatan awam perlu menjadi jentera dinamik merentasi sempadan serta melangkaui ekspektasi pemikiran biasa yang mana peranan dan fungsi dilaksanakan oleh perkhidmatan awam perlu seiring dengan perubahan di peringkat domestik dan juga global," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, strategi pengurusan pentadbiran yang berkesan melalui gabungan kepimpinan tertinggi akan menguatkan lagi pasukan kerajaan dalam mentadbir negeri ini.

"Selain merangka pembangunan dan menangani isu setempat, agenda pembandaran yang berlaku harus dilihat dalam perspektif bersifat holistik dengan aras dan kelestarian seimbang bersama-sama dengan sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar yang lain.

"Daerah ini juga harus menyediakan segala kemudahan infrastruktur, ketersampaian serta menyediakan peluang dan perkhidmatan yang adil kepada semua warganya," katanya.