'Tahun gemilang buat Itali'

Lamont Marcell Jacobs
Lamont Marcell Jacobs
A
A
A

ATLET olahraga Itali, Lamont Marcell Jacobs menyifatkan tahun 2021 sebagai tahun buat Itali selepas membantu pasukannya meraih emas dalam acara 4x100 meter (m) lelaki pada Jumaat.

Menurutnya, Itali telah melakar pencapaian luar biasa dalam sukan dunia pada tahun ini bukan sahaja dalam sukan Olimpik malah turut cemerlang dalam sukan lain.

"Ini adalah tahun buat Itali, tahun kami.

Kami menang Eurovision, Euro 2020, dan lima pingat emas dalam sukan olahraga di Olimpik," katanya.

Itali mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi acara tersebut buat kali pertama dengan rekod kebangsaan 37.50 saat (s).

Britain pula meraih perak menerusi catatan 37.51s manakala Kanada memenangi gangsa 37.70s.

Kemenangan Itali itu menyaksikan juara acara pecut 100m meter, Jacobs meraih emas keduanya pada temasya kali ini.

Britain dilihat pilihan utama memenangi emas apabila mendahului sebelum pertukaran pelari terakhir.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Filippo Tortu berjaya mengatasi Nethaneel Mitchell-Blake selaku pelari akhir untuk memastikan kemenangan kepada Itali.

Ia menyaksikan pingat emas dalam acara trek yang kelima di Tokyo, menyamai bilangan dengan Amerika Syarikat dengan Itali tidak pernah meraih lebih daripada tiga emas dalam temasya tersebut.