Bapa Ain Husniza rancang saman balas RM5 juta terhadap guru

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Pelajar perempuan, Ain Husniza Saiful Nizam bersama bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab dipanggil polis untuk dirakam keterangan berkaitan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan gurunya pada 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar memberitahu, pada 5 Mei lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu yang merupakan guru pelajar perempuan berkenaan.

"Guru tersebut membuat laporan ekoran kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan ke atas dirinya sebagai seorang guru serta Institusi Perguruan di Malaysia oleh pelajarnya itu semasa wawancara di media sosial Utusan Online pada 30 April lalu.

"Pelajar berkenaan didakwa diwawancara berkenaan isu guru pendidikan jasmani yang menyebut tentang elemen rogol semasa proses pembelajaran di dalam kelas," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ekoran laporan tersebut, polis kemudiannya memanggil pelajar berkenaan dan bapanya untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua individu berkenaan telah hadir dengan ditemani peguam, Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian," katanya.

Dalam pada itu, peguam Ain, Datuk Sangkara Nair menyatakan bapa Ain Husniza Saiful Nizam merancang menyaman balas guru terbabit sebanyak RM5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Ain dan bapanya akan memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, setakat ini kita belum tahu apa yang bakal ditanya termasuk seksyen siasatan dijalankan.

"Tindakan itu adalah satu bentuk tindakan sivil mengikut Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) selepas Ain mengalami kemurungan dalam konteks sengaja mencetuskan tekanan emosi (IIED), susulan kes itu yang dianggap sebagai satu gangguan seksual," katanya ketika mengiringi Ain dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada petang Jumaat.

Pada Rabu, Ain Husniza yang mendakwa gurauan seorang guru mengenai rogol memaklumkan menerima surat tuntutan RM1 juta.

Bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab berkata, tuntutan tersebut difailkan oleh guru terbabit atas dakwaan fitnah gurauan berkenaan.

Pada 24 April lalu, seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seolah-olah seperti menggalakkan pelajarnya melakukan jenayah rogol.

ARTIKEL BERKAITAN: Ain Husniza terima notis tuntutan RM1 juta

Lebih 20 peguam tawar bantuan guaman kepada Ain Husniza