Tidak pernah serik, dua tokan dadah ditahan lagi

Mohd Hamizi (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam sekatan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Kota Kinabalu-Tuaran.
Mohd Hamizi (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam sekatan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Kota Kinabalu-Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Meskipun masing-masing sudah lapan dan tiga kali ditahan polis atas kesalahan dadah, dua sahabat dipercayai sebagai tokan dadah tidak serik meneruskan kegiatan mereka.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40 tahun ditahan sekali lagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sekatan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Kota Kinabalu -Tuaran, jam 6.30 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil daripada maklumat awam dan risikan pihaknya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan selepas disyaki mengedar dadah hasil rampasan dadah jenis syabu seberat 62.61 gram.

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai lapan dan tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Ketika kejadian juga didapati kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen rentas daerah yang dibenarkan dan kompaun dikeluarkan ke atas suspek kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peratuiran Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021," katanya pada sidang akhbar di IPD Tuaran, pada Jumaat.

Mohd Hamizi berkata, jumlah dadah syabu yang dirampas bernilai RM6,261 dan dipercayai untuk kegunaan lebih 310 penagih.

"Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kedua-dua tangkapan ini bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya memandang serius berhubung kegiatan pengedaran dan salah guna dadah di daerah ini.

"Operasi seperti ini akan dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkaitan dadah berlaku di daerah ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan dan penggunaannya juga adalah dilarang," katanya.