Tular jawapan balas menteri, ahli Parlimen UMNO lupa diri, gila kuasa

Tangkap layar berhubung mesej tular di aplikasi WhatsApp dalam kalangan ahli-ahli UMNO pada Jumaat.
Tangkap layar berhubung mesej tular di aplikasi WhatsApp dalam kalangan ahli-ahli UMNO pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu mesej tular dalam kalangan ahli-ahli UMNO pagi Jumaat yang menjawab tindakan menteri dan ahli Parlimen UMNO yang dikatakan tidak akur dengan keputusan parti itu.

Mesej tersebut menjelaskan tentang situasi sebenar susulan tindakan segelintir pihak menyebar naratif menuduh pihak yang tidak akur itu sebagai lupa diri dan gila kuasa dengan gelaran ‘derhaka’.

Berdasarkan mesej itu, mereka mengakui telah hilang defisit kepercayaan terhadap Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diyakini telah menyalahguna kuasa dan melanggar mandat parti.

Zahid didakwa ‘menjual’ nama semua ahli Parlimen UMNO melalui satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Oktober tahun lalu dengan menyatakan mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: 31 ahli Parlimen UMNO, BN terus sokong PN dan Muhyiddin

Salinan surat itu juga dimiliki Muhyiddin dari istana malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetahui perkara tersebut selepas Zahid menunjukkan sendiri kepada mereka dengan disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, berbulan-bulan Zahid menafikan kewujudan surat itu secara terbuka dan dikatakan mahu membuat laporan polis, namun akhirnya beliau mengakui ia tulen dalam perjumpaan bersama ahli Parlimen UMNO pada 5 Julai 2021.

Tanpa pengakuan Zahid pun, ketulenan surat itu tidak diragui kerana ada di antara ahli Parlimen UMNO mendakwa ‘diperangkap’ Zahid untuk duduk bersama Anwar dan menandatangani akuan bersumpah (SD) di satu kondominium mewah di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan dalam mesej berkenaan turut memetik nama Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hassan yang dipersoal tidak berani mempertahankan parti meskipun mengetahui apa yang berlaku.

Berdasarkan mesej itu lagi, Zahid telah menipu tiga juta ahli UMNO mengenai audio perbualan 'anak murid' dan 'cikgu' yang awalnya dikatakan palsu sehingga berjanji mahu membuat laporan polis.

Tetapi pada perjumpaan sama, bersama ahli-ahli Parlimen pada 5 Julai lalu, Zahid mengaku audio itu tulen dengan mempertahankan tindakan tersebut sebagai tidak salah.

Berhubung penarikan sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta ahli Parlimen UMNO tidak tahu-menahu mengenai strategi parti dan langkah seterusnya jika keluar dari kerajaan.

Sehingga kini, hanya sekali Zahid berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen parti iaitu pada 5 Julai lalu dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak berani bersemuka dengan rakan ahli Parlimen sendiri.

Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Puteri juga tidak mempunyai jawapan jelas sebaliknya dilihat lebih cenderung mencemarkan imej menteri dan ahli Parlimen UMNO.

Jawapan yang diberikan cuma berbunyi ia langkah ajaib untuk UMNO menjadi Perdana Menteri Interim tanpa menyatakan parti mana akan memberikan sokongan kepada UMNO malah dijual pula naratif ‘Agong tak berkenan kepada Muhyiddin, jangan risau’.

Tindakan terbaharu Zahid menghantar warkah kepada Seri Paduka Baginda mengenai beberapa ahli Parlimen menarik sokongan terhadap Muhyiddin juga tidak membuahkan hasil.

Rentetan langkah Zahid berkali-kali mencetuskan krisis politik itu telah menimbulkan persoalan bagaimana ahli Parlimen dan menteri yang memegang portfolio penting, mahu percaya kepada seorang presiden yang secara terang-terangan menipu.

Justeru, mesej tersebut meminta ahli-ahli UMNO yang memainkan peranan mengangkat institusi parti supaya menilai pihak mana yang harus dipersalahkan dan siapa sebenarnya pengkhianat parti.

Jika tidak, UMNO akan terkubur apabila menggadai maruah parti demi kepentingan menyelesaikan masalah dan cita-cita peribadi.