MMA Perak sumbang 2,000 PPE kepada JKN

Dr M Premananda Raja (dua dari kiri) menyempurnakan penyerahan kepada Datuk Dr Ding Lay Ming di Pejabat JKN Perak di sini pada Jumaat.
Dr M Premananda Raja (dua dari kiri) menyempurnakan penyerahan kepada Datuk Dr Ding Lay Ming di Pejabat JKN Perak di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Perak menyediakan peruntukan lebih RM7,000 untuk menyalurkan sumbangan 2,000 set peralatan pelindung diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Pengerusinya, Dr M Premananda Raja berkata, sumbangan itu antara lain bagi membantu usaha petugas barisan hadapan dalam mengendalikan kes Covid-19 berikutan jangkaan berlakunya peningkatan kes di Perak terutama melibatkan pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan unit rawatan kritikal atau rawatan intensif (ICU).

Menurutnya, peningkatan kes itu seterusnya akan meningkatkan penggunaan PPE, peralatan kesihatan dan bekalan perubatan dalam kalangan petugas kesihatan.

"Sumbangan ini merupakan komitmen MMA Perak dalam meneruskan sumbangan PPE kepada petugas barisan hadapan.

"Sebelum ini, MMA Perak juga telah menyumbang PPE bernilai RM59,560 kepada JKN Perak dan semua sumbangan ini akan diagihkan ke bahagian dan unit yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan PPE kepada JKN Perak di sini pada Jumaat.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.

Mengulas lanjut, Premananda Raja berkata, bagi menghasilkan set PPE yang terbaharu ini, MMA Perak telah menaja kos bahan fabrik non-woven material bernilai RM7,140 sementara perkhidmatan jahitan pula disediakan oleh Eadeco Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pembuatan tekstil yang berpusat di Perak.

Katanya, bagi memastikan sumbangan seumpama itu dapat diteruskan, pihaknya telah melancarkan ‘MMA Perak Covid-19 Fund’ pada Julai lalu untuk mengumpul dana bagi tujuan peralatan kesihatan, bekalan perubatan, PPE, vaksinasi Covid-19 dan usaha bantuan berkaitan Covid-19 lain di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada ‘MMA Foundation - Covid 19’ melalui pemindahan terus atau cek ke akaun United Overseas Bank bernombor 2403035957 (Rujukan Penerima: MMA Perak Covid-19 Fund).

"Sumbangan sebanyak RM100 ke atas adalah dikecualikan cukai dan penderma diminta untuk menghantar slip transaksi pembayaran melalui aplikasi WhatsApp ke talian 016-5119022 atau melalui e-mel ke secretariat@mmaperak.org dengan disertakan nama penuh, alamat, nombor telefon dan e-mel," katanya

Sementara itu, Lay Ming berkata, sumbangan PPE itu membawa makna cukup besar kepada pasukan perubatan dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Kami begitu menghargai sokongan daripada semua pihak terutama MMA Perak yang aktif menggerakkan kerja-kerja kebajikan seperti ini.

"Semua sedia maklum kita sedang berjuang melawan Covid-19, justeru kelengkapan ini amat penting bagi melindungi petugas perubatan," katanya.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam rangka lawatan kerja rasmi ke negeri ini menyatakan berlaku peningkatan kes Covid-19 memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi di Perak.

Ia berikutan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini terutama melibatkan kes-kes kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan ICU.

Pada Khamis, Perak merekodkan 916 kes baharu iaitu lebih tinggi berbanding 662 kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya.