PM perlu buktikan dakwaan didesak campuri urusan mahkamah

Syed Mohd Johan (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat AJK Pemuda UMNO Alor Setar di IPD Kota Setar pada Khamis.
Syed Mohd Johan (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat AJK Pemuda UMNO Alor Setar di IPD Kota Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan dakwaan bahawa terdapat unsur mempengaruhi beliau supaya campur tangan urusan mahkamah dalam perbicaraan kes jenayah individu tertentu.

Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri berkata, dakwaan Muhyiddin itu dianggap hanya menembak peluru kapur bagi membunuh karakter individu tertentu kerana perbezaan politik yang berlaku sekarang.

Beliau juga menyifatkan beban pembuktian kini adalah terhadap Perdana Menteri selepas membuat dakwaan umum berkenaan.

"Kenyataan yang dibuat Muhyiddin itu sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan campur tangan cabang eksekutif terhadap cabang kehakiman yang bertanggungjawab kepada sistem keadilan negara.

"Implikasi dan persepsi tercipta menunjukkan seolah-olah boleh wujud 'pencerobohan bidang kuasa' oleh cabang eksekutif kepada cabang kehakiman yang sekiranya benar telah merosakkan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas sistem demokrasi negara," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin dedah beliau didesak campuri urusan mahkamah

Beliau berkata demikian selepas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Alor Setar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini pada Khamis.

Syed Mohd Johan yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah berkata, kenyataan itu juga sekiranya disalah tafsir boleh menunjukkan seolah-olah sistem undang-undang serta keadilan boleh dijual beli, sekaligus merosakkan imej, integriti dan prestij institusi mahkamah.

"Ini pastinya menggugat keyakinan seluruh rakyat Malaysia dan menjatuhkan tahap kepercayaan negara luar terhadap sistem demokrasi Malaysia," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan berhubung kenyataan Perdana Menteri itu dalam sidang media pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan pihak berkuasa tidak terhad kepada siasatan oleh pihak polis sahaja.

"Sekiranya terdapat salah laku dan kebenaran dakwaan tersebut, maka tindakan undang-undang perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang telah mencabuli sistem demokrasi dan melanggar undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut membuat satu lagi laporan polis sebagai tindak balas terhadap laporan polis yang dibuat Pemuda Perikatan Nasional (PN) Kedah pada Rabu.

Laporan polis tersebut terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan berniat memperdaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung bilangan ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Katanya, pihaknya membuat laporan itu untuk menggesa siasatan kerana kenyataan mereka adalah satu fitnah jahat terhadap Presiden UMNO.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, mereka juga didapati telah membuat satu laporan palsu, sekali gus pihaknya memohon polis melakukan siasatan dibawah Seksyen 499 kanun tatacara jenayah.