X

Kindly register in order to view this article
!

Lantik jawatankuasa bebas siasat dakwaan salah laku Naib Canselor

UniSZA
A
A

KUALA TERENGGANU - Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melantik jawatankuasa bebas bagi menjalankan siasatan terhadap Naib Canselor universiti berkenaan berhubung dakwaan salah laku pentadbiran.

Presiden MAAC, Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, jawatankuasa bebas itu perlu diwakili dalam kalangan pihak luar yang tidak mempunyai kepentingan dengan UniSZA.

Menurut beliau, langkah itu bagi menjamin ketelusan, kebebasan dan keadilan proses siasatan yang akan dijalankan terhadap Naib Canselor universiti berkenaan yang sebelum ini ditahan daripada menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UniSZA berkuatkuasa 12 Julai lalu.

"MAAC menggesa Lembaga Pengarah Universiti (LPU UniSZA) menghormati dan mematuhi peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Perlembagaan Universiti yang sedang berkuatkuasa.

"Oleh itu, sebarang tindakan terhadap Naib Canselor perlulah dimaklumkan kepada KPT bagi mengelakkan salah tanggapan terhadap pihak LPU, pengurusan universiti dan warga universiti, khususnya.

"Dalam keadaan pandemik Covid-19, salah tanggapan ini boleh memberi impak kepada reputasi universiti awam dan motivasi warganya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAAC juga menyokong sebarang pelantikan pengganti sementara dari kalangan mana-mana timbalan naib canselor untuk menjalankan tugas Naib Canselor agar operasi universiti dapat dilaksanakan seperti biasa dan berjalan lancar.

Katanya, pelantikan itu adalah pelan tindakan sementara dalam tempoh menunggu sebarang keputusan, tindakan atau siasatan terhadap Naib Canselor berkenaan.

"MAAC percaya bahawa sebarang dakwaan salah laku perlu dipastikan kesahihannya demi menjaga keadilan. Jika ia didapati benar, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah sahaja perlu menentukan, bukan orang awam.

"Dalam keadaan suasana politik dan pandemik Covid-19 yang tidak menentu ini, saya percaya warga UniSZA akan dapat bertenang dan melaksanakan operasi pentadbiran, proses pengajaran dan pembelajaran di universiti demi kelangsungan akademik serta pengajian mahasiswa di UniSZA," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Staf Akademik UniSZA (PSA) telah menghantar surat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad untuk segera melantik pemangku naib canselor universiti berkenaan.

PSA UniSZA turut mencadangkan nama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNC A&A), Profesor Dr Kamarul Shukri Mat Teh bagi menjalankan tugas naib canselor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!