Kedah laksana pengebumian jenazah pesakit Covid-19 berpusat

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah melaksanakan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara berpusat bagi mempercepatkan proses pengebumian susulan peningkatan kes kematian di negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia akan bermula di daerah Kuala Muda susulan peningkatan kes kematian di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani yang mencecah sehingga 10 hingga 12 jenazah sehari.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi menyegerakan urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 yang sebelum ini hanya dapat menguruskan lima jenazah sehari selain mengambil masa agak lama.

“Berikutan itu, tanah perkuburan di 75 kariah sekitar Kuala Muda dipilih secara bergilir setiap hari sebagai tempat pengebumian mangsa Covid-19 bagi memastikan proses pengebumian dipercepatkan dan berjalan lancar.

"Ini kerana kita mengalami kekurangan petugas dan hanya ada tiga Inspektor Kesihatan di Kuala Muda. Kita perlu ikut prosedur di mana mangsa Covid-19 perlu dikebumikan dengan kehadiran Inspektor Kesihatan menyebabkan pengebumian jenazah lain tertangguh,” katanya pada sidang media secara dalam talian di sini, pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, terdapat jenazah lewat dikebumikan sehingga 20 jam, sedangkan mengikut syarak perlu diuruskan dalam tempoh antara lapan hingga 12 jam selepas meninggal dunia.

“Sebelum ini, petugas terpaksa mengurus jenazah di tempat jauh mengikut kehendak waris yang mahu ahli keluarga dikebumikan di kampung masing-masing, menyebabkan jenazah lain lewat diuruskan dan terpaksa diletakkan di bilik mayat atau kontena khas," katanya.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan pengebumian berpusat ini, pihaknya menjangkakan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dapat ditingkatkan selain mengelak jenazah terlalu lama ditempatkan di bilik mayat atau kontena.

Artikel Berkaitan:

“Kita cadang laksanakan juga di daerah Kota Setar selepas ini, berikutan kematian mangsa Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) turut meningkat.

"Selepas ini, keluarga mangsa tidak lagi dibenarkan memilih tanah perkuburan dan diharap anak kariah serta waris reda dengan keputusan ini bagi membolehkan petugas menguruskan pengebumian dengan lancar dan hanya perlu ke satu lokasi pengebumian setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, langkah ini juga selaras dengan tuntutan syarak dan fardhu kifayah yang menetapkan urusan pengebumian jenazah perlu disegerakan.

“Semua kariah mesti menerima ketetapan ini dan bersedia memberi kerjasama dengan menjadikan tanah perkuburan kawasan mereka sebagai tempat pengebumian jenazah pesakit Covid-19. Kita akan gunakan sistem penggiliran mengikut kariah sehingga selesai.

"Malah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) turut menyumbang satu kontena peti sejuk beku kepada HSAH bagi menempatkan jenazah mangsa Covid-19," ujarnya.