Kerajaan bela kebajikan atlet, bekas atlet kebangsaan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN bersetuju memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan serta suntikan dana RM3 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, inisiatif ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan yang telah menabur jasa dan bakti membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk memberikan kemudahan perubatan dan kesihatan buat para atlet/bekas atlet kebangsaan yang telah berjuang memartabatkan arena sukan negara.

“Bantuan serta kemudahan perubatan dan kesihatan ini merupakan komitmen kerajaan yang signifikan terhadap kebajikan dan kesihatan atlet/bekas atlet kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kemudahan yang disediakan termasuk rawatan pesakit luar dan dalam di semua premis kesihatan kerajaan bagi atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara dan setara.

Syed Saddiq berkata, selain itu, atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan teras yang sedang menjalani program latihan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Turut layak mendapatkan kemudahan berkenaan juga adalah atlet/bekas atlet kebangsaan yang tersenarai dalam mana-mana pasukan acara sukan bukan teras tetapi pernah mewakili negara dalam kejohanan tidak kurang daripada Sukan Asia Tenggara atau setara adalah layak sekiranya dipersetujui oleh jawatankuasa penilaian dengan perakuan Ketua Pengarah MSN.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata suntikan dana RM3 juta kepada YAKEB menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada bekas-bekas atlet kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya inisiatif ini, kerajaan berharap kebajikan atlet/bekas atlet kebangsaan sentiasa terbela,” katanya. - Bernama