Orang ramai serbu kedai makan di Perlis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KANGAR - Bagai melepaskan geram, begitulah suasananya apabila orang ramai mula menyerbu gerai dan kedai makan sebaik negeri Perlis beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, yang antara lain membenarkan pelanggan makan di dalam premis dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tinjauan Bernama mendapati, gerai dan kedai makan menjadi tumpuan orang ramai seawal 7 pagi untuk bersarapan, dengan masing-masing sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk duduk di meja dan mengikuti SOP penjarakan fizikal ditetapkan iaitu hanya dua orang bagi satu meja.

Situasi itu turut melegakan peniaga setelah perniagaan mereka umpama nyawa-nyawa ikan akibat pendapatan merosot apabila Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dikuatkuasakan sejak Mei lepas bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang peniaga gerai roti canai, Mohd Azuam Azwadi, 30, memberitahu, dia tidak menang tangan melayan lebih 20 pelanggan yang berbaris menunggu giliran kerana jumlah meja terhad.

"Gerai saya hanya boleh memuatkan 10 meja bagi mematuhi penjarakan fizikal yang ditetapkan. Alhamdulillah, pelanggan faham dan mereka sabar menunggu giliran,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Seorang pemilik kopitiam, Khor Sooi Hwang, 56, sudah menjangka ramai pelanggan akan datang ke kedainya hari ini kerana menyedari keterujaan orang ramai selepas lebih dua bulan tidak dapat menikmati makanan di kedai.

“Ramai pelanggan memberitahu makan di rumah tak sama seperti makan di kedai, mereka kata makan di kedai lebih nikmat kerana suasananya berbeza berbanding di rumah,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Sementara itu bagi orang ramai, kerinduan mereka untuk kembali makan di restoran atau kedai makan yang sebelum ini menjadi rutin, kini bagaikan terubat.

Artikel Berkaitan:

Seorang juruteknik syarikat swasta, Rusli Ali, 50, melahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat kembali menikmati makanan di kedai.

“Hari ini rasa seronok dapat makan di kedai bersama rakan-rakan sebelum masuk pejabat, macam sambut hari raya pula, tetapi SOP tetap dijaga,” katanya sambil ketawa kecil.

Nur Diyana Radzi, 29, mengakui sejak pelaksanaan Fasa Satu PPN dia terpaksa bangun seawal jam 5 pagi untuk masak bekalan ke tempat kerja kerana tidak gemar membeli makanan bungkus.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga makan di premis (kedai) seperti biasa, saya rasa lega kerana tidak perlu lagi masak setiap pagi,” kata penjawat awam itu. -Bernama

TAG: kedai makan, peniaga, pengunjung, hidang, selesa.