Bekalan air Kolam Bukit Merah mencukupi

Mohd Sabli (kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Pengerusi Perdasama daerah Kerian, Nor Azizah Amri (tengah) pada majlis perasmian Pesta Niaga Kolej Komuniti Bagan Serai hari ini.
A
A

BAGAN SERAI - Bekalan sumber air dari Kolam Bukit Merah untuk pelbagai kegunaan termasuk pengairan sawah padi masih dijamin mencukupi dan tidak terjejas meskipun suhu tinggi melanda negara pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kerian pada Isnin lalu, pihaknya menerima laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian memaklumkan kadar simpanan air di Kolam Bukit Merah masih berada pada tahap 100 peratus ketika ini.

Menurutnya, keadaan itu disebabkan kadar takungan atau 'intake' air dari kawasan hulu Sungai di daerah Selama masih berlaku hujan, sekali gus memastikan bekalan air di Kolam Bukit Merah tidak terjejas meskipun berhadapan cuaca panas ekstrem.

"Berikutan itu, saya difahamkan kadar bacaan paras air Kolam Bukit Merah dicatatkan JPS Kerian masih normal dan tidak pada tahap membimbangkan.

"Bagi tujuan pengairan sawah padi, di peringkat JPS, saya difahamkan inisiatif solat hajat sudah digerakkan bermula bersama pesawah bermula di Masjid Matang Gerdu sejurus musim penanaman padi bermula," katanya kepada media pada majlis perasmian Pesta Niaga Kolej Komuniti Bagan Serai dengan kerjasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(Perdasama) Perak, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Bagan Serai, Mohd Shahidi Mohd Saad, Yang Dipertua Perdasama Perak, Suhaida Mohd Hashim dan Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Khairuddin Arshad.

Mohd Sabli yang juga Pegawai Daerah Kerian berkata, pihaknya menerusi JPS dan agensi kerajaan berkaitan juga akan membuat hebahan kepada pesawah bagi mengelakkan mereka membina saliran haram sekiranya paras simpanan air Kolam Bukit Merah terus merosot pada tahap kritikal.

Untuk kegunaan domestik, Mohd Sabli menegaskan rakyat daerah Kerian tidak perlu risau dan turut menyambut baik langkah penjimatan air sebagai persiapan sekiranya keadaan cuaca panas menjejaskan bekalan air sedia ada.

"Saya juga menyarankan bukan sahaja pihak sekolah perlu mengehadkan aktiviti di luar kelas dan sekolah, bahkan agensi-agensi kerajaan perlu melakukan tindakan sama bagi mengelakkan risiko serangan strok haba," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sabli turut mengesahkan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Stadium Mini Bagan Serai bernilai lebih RM3 juta sedang giat dijalankan bermula pertengahan bulan Februari ini.

Menurutnya, projek dijangka disiapkan dalam tempoh setahun itu bakal menyaksikan lorong balapan yang sebelum ini hanya enam lorong dan tidak mengikut spesifikasi Majlis Sukan Negara (MSN) bakal dibaik pulih.

"Selain itu, keadaan padang bola sepak yang menggunakan jenis rumput tidak bersesuaian sebelum ini bakal dibaiki pulih bagi membolehkan kemudahan padang itu kembali dimanfaatkan orang awam.

"Inisiatif menaik taraf Stadium Mini Bagan Serai penting bagi membolehkan sekolah-sekolah dan masyarakat setempat menganjurkan acara sukan rasmi dengan penyediaan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa," katanya.