Gangguan air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dijangka pulih 8 Ogos

Kenyataan Satu berhubung gangguan bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak Isnin.
Kenyataan Satu berhubung gangguan bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka pulih pada 7 atau 8 Ogos nanti.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja membaiki paip itu dijangka mengambil masa antara empat hingga lima hari bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai.

“Penambahan masa untuk pembaikan adalah disebabkan masalah yang timbul ini rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta pakar. Sekiranya ada lanjutan masa bagi tempoh pembaikan, makluman akan dibuat lebih awal.

“Kedudukan dan laluan paip 1,200 milimeter pada dasar sungai telah dikenal pasti melalui aktiviti selaman. Lokasi sebenar paip pecah juga telah diketahui dan proses pembaikan telah dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi memastikan penduduk terjejas mendapat bekalan air, Satu telah menggerakkan lapan buah lori tangki untuk diagihkan kepada kawasan terlibat dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Syarikat Pengurusan Air Pahang (Paip).

Menurut kenyataan itu, Satu juga sedang berusaha menambah 10 buah lori tangki air lagi dengan memohon bantuan dari operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melancarkan lagi proses agihan air.

“Sebanyak 36 buah tangki statik baharu ditempatkan di sekitar kawasan terlibat mulai malam tadi bagi menambahkan bilangan tangki sedia ada.

“Pergerakan lori tangki dan kedudukan tangki statik boleh disemak melalui https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker dan aplikasi MySatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Gangguan bekalan air itu melibatkan 25 kawasan di Kuala Nerus iaitu keseluruhan Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuruh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa dan Alor Damak.

Turut terlibat Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.

Bagi daerah Kuala Terengganu pula, kawasan yang terjejas adalah Buluh Gading Masjid, sebahagian Banggol Peradong, Buluh Gading Dewan, Kampung Manir, Kampung Banggol Tuan Muda, Kampung Tualang, Petai Bubus, Kampung Kebor Air, Paya Datu, Kampung Telok Menara dan Jeram.