Penyelam tarik bot karam dikhuatiri lemas

Calvin Patrick
Calvin Patrick
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penyelam dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menarik sebuah bot karam di perairan Sungai Besar di sini pada pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Calvin Patrick Lazaroo, 27, disedari hilang tiga rakan penyelam yang ketika itu turut melakukan selaman untuk mengikat tali pada bot milik sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor memaklumkan, Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima laporan daripada rakan penyelam selepas empat jam mereka melakukan usaha pencarian.

"MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada jam 2.20 petang dan mengatur gerak KM Nyalau yang sedang beroperasi ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Kenyataan memaklumkan, selain Maritim Malaysia, operasi itu turut disertai pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan komuniti nelayan setempat

Kenyataan itu memberitahu, sehingga jam 7.30 petang Selasa, mangsa masih belum ditemui.

"Carilamat ditangguhkan pada 7.30 petang kerana faktor penglihatan terhad pada waktu malam dan cuaca buruk," katanya.

Menurut kenyataan itu, fokus pencarian pada Rabu tertumpu di kawasan berkeluasan 148.83 batu nautika persegi di sekitar perairan Sungai Besar.

Artikel Berkaitan:

"Pangkalan hadapan Carilamat akan ditubuhkan di Jeti Perikanan Sungai Besar, Selangor," kata kenyataan itu.