Pelajar dikhuatiri lemas di Sungai Perak

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hilir Perak, Mohd Ismail Mohd Yunus mengetuai operasi SAR remaja dikhuatiri lemas di Teluk Intan. - Foto ihsan Bomba Perak
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hilir Perak, Mohd Ismail Mohd Yunus mengetuai operasi SAR remaja dikhuatiri lemas di Teluk Intan. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Perak berhampiran jeti Kampung Terengganu di sini pada Jumaat.

Beg dan pakaian mangsa dikenali sebagai V Johnson, 14, ditemukan orang awam di jeti berkenaan sekitar jam 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan selepas menerima aduan daripada bapa mangsa.

"Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan berdekatan kawasan kejadian pada jam 9.30 malam.

Unit K9 JBPM Perak digerakkan dalam SAR remaja dikhuatiri lemas di Sungai Perak. - Foto ihsan Bomba Perak
Unit K9 JBPM Perak digerakkan dalam SAR remaja dikhuatiri lemas di Sungai Perak. - Foto ihsan Bomba Perak

"SAR kemudiannya diteruskan sekitar jam 7.30 pagi membabitkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang tempatan," katanya di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi diteruskan merangkumi radius pencarian 7 kilometer (km) dari lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh.

"Bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) juga diatur gerakkan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)," katanya.