X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM terima 206 laporan berkaitan perhimpunan MP pembangkang

Acryl Sani
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 206 laporan berhubung perhimpunan oleh ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka di sini pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi laporan yang diterima dan akan memanggil individu yang terlibat bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Acryl Sani berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Setiausaha Dewan Rakyat ada mengemukakan pemberitahuan kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Isnin ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan nanti.

"Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

"KKM berpendapat bahawa Parlimen adalah lokaliti berisiko untuk penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat pada Ahad, bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada Isnin.

"Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana ia telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk Ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka kita mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan," katanya.

Menurutnya, tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Menurut undang-undang berkenaan bertarikh 4 Julai lalu, di mana berhimpun dan berarak adalah aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Justeru beliau meminta semua individu yang terbabit dalam perhimpunan berkenaan untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan dijalankan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!