Shamsul Anuar letak jawatan menteri

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

"Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana berikan saya peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.

"Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, tumpuan kini akan diberikan kepada rakyat di kawasan Parlimen Lenggong.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak serta semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengesahan peletakan jawatan oleh Shamsul Anuar mengiakan lagi desas-desus penarikan diri menteri-menteri UMNO daripada terus menyokong Perikatan Nasional (PN).

UMNO juga dijadualkan membuat sidang akhbar petang ini susulan selesai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Selasa.