Kerajaan PN masih ada sokongan majoriti, termasuk dari PKR: Zahidi

Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Zahidi Zainul Abidin
Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mendakwa, kerajaan PN masih lagi mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen pelbagai parti termasuk daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tegas beliau, dalam masa sama, rakyat juga sudah serik melihat negara ini diperintah di bawah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Kita ingin menasihati Ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mengalih perhatian dalam usaha membantu rakyat, memerangi pandemik Covid-19 serta membaiki ekonomi, kepada isu mendapatkan kuasa.

“Kita tidak mahu PH ambil alih kerajaan. Kalau Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meletak jawatan sudah tentu yang memerintah semula adalah PH. Rakyat sudah serik dengan 22 bulan pembohongan PH dan apabila Parlimen (kembali), mereka mengalihkan isu untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Padang Besar itu lagi dalam sidang media yang diadakan di RTM pada Selasa.

Selain itu, Zahidi berkata, beliau mengesahkan apa yang diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa PN mempunyai sokongan daripada 40 Ahli Parlimen BN.

Tambahnya lagi, terdapat perbincangan yang sedang berlangsung untuk menambah lagi sokongan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen, namun tiada perincian diberikan.

“Yang menyokong kerajaan PN adalah 40 orang. Dan kita sedang negotiate lagi, satu dah keluar iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah).

Artikel Berkaitan:

"Tiga lagi (Ahli Parlimen) dari PKR... saya tak tahu siapa tapi bertambah termasuk Datuk Seri Xavier Jayakumar dan sebagainya.

“(Jadi) ada pertambahan, tiada pengurangan. Kurang satu dua, tapi kita tengah berbincang, kalau boleh Presiden UMNO sokonglah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zahidi menyarankan agar UMNO terus memberi kepercayaan kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti serta tidak mengkhianati kerajaan yang ditubuhkan bersama.

Sementara itu, Zahidi berkata, saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyokong PN, tetapi tidak menyokong Perdana Menteri adalah tidak praktikal.

“Kerana kalau kita bersama Bersatu tapi tidak sokong Presiden Bersatu ini tidak praktikal. Sokong Pas tidak sokong (Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak praktikal.

“Kalau ahli-ahli UMNO nak amal dalam UMNO (sendiri) sokong UMNO tapi tak sokong Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), kita boleh cuba,” katanya lagi.

Zahidi berkata, adalah penting untuk semua pihak bersama-sama dengan Bersatu dan PN supaya kerajaan boleh memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 serta krisis ekonomi negara.

Pada Isnin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi dakwaan bahawa kerajaan PN kini sudah tumbang.

"Kerajaan Mahiaddin (Muhyiddin) telah jatuh, tumbang hari ini. Saya mendapat maklumat ada Ahli Parlimen yang minta keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

"Dengan 107 (Ahli Parlimen) di sini campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan," katanya ketika berucap semasa berkumpul bersama Ahli Parlimen lain dari blok pembangkang di Dataran Merdeka di ibu negara pada Isnin. - Awani