Terjun laut konon mahu pergi Makkah

Orang awam yang ternampak lelaki tersebut sedang terapung di dalam laut lalu menghubungi polis untuk bantuan.
Orang awam yang ternampak lelaki tersebut sedang terapung di dalam laut lalu menghubungi polis untuk bantuan.
A
A
A

GEORGETOWN - Hari itu nak jumpa kawan, kali ini nak ke Tanah Suci Makkah pula.

Itu alasan seorang lelaki berusia 28 tahun apabila sekali lagi terjun ke laut di Jeti Tanjung City Marina di sini dan berenang kononnya untuk ke Tanah Suci Makkah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian pada Isnin, seorang lelaki didapati telah terjun ke laut, namun berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin Pulau Pinang.

Menurut beliau, kejadian itu disedari orang awam yang ternampak seorang lelaki sedang terapung di tengah laut berhampiran Jeti Tanjung City Marina pada jam 4.55 petang lalu menghubungi polis.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan merupakan lelaki yang sama dalam kejadian dilaporkan pada 12 Julai lalu. Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh polis marin.

"Kali ini, dia memberi alasan mahu berenang untuk ke Tanah Suci Makkah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Soffian berkata, lelaki tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental.

"Ujian saringan awal air kencing terhadapnya menunjukkan negatif.

Artikel Berkaitan:

"Dia kini ditempatkan di Wad Psikiatrik Jalan Perak di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Tular di media sosial sebelum ini seorang lelaki telah diselamatkan polis selepas ditemui sedang terapung di tengah laut.

Mengulas mengenai kejadian sebelum ini, Soffian berkata, hasil penilaian hospital mendapati lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang masalah mental.

Katanya, lelaki itu telah diambil oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang kerana mengalami ketagihan dadah yang serius.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada permit rentas daerah, lelaki nekad berenang laut demi jumpa rakan

Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan nekad berenang menyeberangi laut dari Jeti Tanjung City Marina di sini menuju ke Seberang Perai, Butterworth hanya semata-mata ingin berjumpa rakannya.

Dalam kejadian pada jam 6 petang, 12 Julai lalu itu, lelaki berkenaan nekad terjun ke laut selepas gagal untuk mendapatkan kelulusan permit rentas daerah dari polis kerana tiada alasan munasabah bagi tujuan tersebut.

Dia bagaimanapun berpatah balik menghala ke jeti feri di sini kerana kepenatan.

Hasil pemeriksaan, lelaki itu mengalami patah tangan kanan dan dirawat di wad di HPP.