Benci rasuah bermula dari rumah

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk membenci rasuah. - Gambar hiasan
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk membenci rasuah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Individu lantang bersuara menentang dan membenci rasuah perlu bermula dari rumah iaitu dalam sesebuah institusi keluarga bagi mencetuskan gelombang perubahan terhadap aktiviti tersebut.

Penolong Setiausaha Agong Majlis Belia Malaysia, Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, beliau menyarankan setiap daripada ahli keluarga menjadi antirasuah.

"Jika setiap ahli keluarga melawan rasuah, pasti ahli keluarga lain akan bimbang terjebak amalan ini.

“Maka lebih ramai akan bersama-sama mengelakkan diri daripada rasuah sekiranya diperluaskan pula ke dalam masyarakat," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Atiqah Syairah berkata, penglibatan belia dalam rasuah sangat membimbangkan ketika ini.

“Statistik belia yang terlibat secara langsung (rasuah) amat membimbangkan. Pihak berwajib harus melandaikan statistik," katanya.

Sehubungan itu, Atiqah Syairah berkata, elemen penting yang perlu ada dalam setiap individu ialah mempunyai jati diri yang kuat kerana ia dapat menyelamatkan seseorang individu supaya tidak terjebak dalam jenayah rasuah.

Beliau turut mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memberikan takrifan atau terma baharu lebih tajam terhadap rasuah.

Artikel Berkaitan:

Kata Atiqah Syairah, aktiviti rasuah perlu diberikan penekanan untuk dibanteras habis-habisan.

“Setiap kali berlakunya rasuah, implikasinya akan berganda dan akhirnya menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan kepada mana-mana sistem perundangan kerana amalan rasuah.

“Tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat juga masih di tahap rendah kerana mereka merasakan rasuah adalah norma baru untuk mencapai sesuatu matlamat peribadi,” katanya.

Atiqah Syairah Shaharuddin
Atiqah Syairah Shaharuddin