Nestcon peroleh projek infrastruktur bernilai RM25.1 juta

No Image Caption
A
A
A

ANAK syarikat milik penuh Nestcon Bhd, Nestcon Infra Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM25.1 juta daripada MMC Engineering Sdn Bhd untuk kerja-kerja infrastruktur utama bagi pembangunan pusat industri petrokimia dan maritim yang terletak di Pontian, Johor.

Penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur itu berkata di bawah kontrak tersebut, Nestcon akan menjalankan kerja-kerja infrastruktur utama merangkumi pembekalan semua perkhidmatan, tenaga kerja, loji dan bahan untuk pembinaan, menyiapkan, menguji dan mengoperasikan kerja-kerja tersebut.

“Projek itu dijangka siap dalam tempoh 10 bulan mulai tarikh pemilikan tapak,” menurut Nestcon dalam kenyataan pada Isnin.

Pengarah Urusan Kumpulan Nestcon Datuk Lim Jee Gin berkata, walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar, kumpulan terus menghadapinya dan merebut peluang yang wujud.

“Kontrak bernilai RM25.1 juta ini merupakan projek ketiga yang diperoleh sejak penyenaraian kami, menambah kepada nilai perolehan kontrak terkumpul kami kira-kira RM1.5 bilion dan memberikan pendapatan kepada kami untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan menyedari mengenai landskap operasi yang mencabar berikutan sekatan pergerakan yang berterusan.

“Bagaimanapun, kami terus sibuk mengusahakan lebih banyak tender berjumlah RM3.0 bilion dan kami menjangka untuk mendapat lebih banyak kontrak dalam tempoh beberapa bulan akan datang, terutamanya untuk segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur kami yang merupakan sebahagian besar daripada tender tersebut,” kata Jee Gin.

Nestcon disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Jun 2021 dan berjaya meraih RM45.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk memudahkan pelan pengembangannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: